
Timbalan Presiden PKR Rafizi Ramli, berkata walaupun parti di Sabah mempunyai pandangan berbeza, namun mereka juga turut berada dalam kerajaan perpaduan di peringkat persekutuan.
“Saya ingat perkara ini akan terus dibincangkan dalam kerangka semangat kerajaan perpaduan di mana kerajaan perpaduan ini ada Majlis Kerajaan Perpaduan.
“Sebenarnya parti yang ada di Sabah ini walaupun ada sedikit perbezaan pandangan, tapi mereka adalah anggota di dalam majlis itu termasuklah Warisan, Umno, Gabungan Rakyat Sabah (GRS), dan sebagainya.
“Jadi, proses rundingan itu akan berlaku seperti yang diarahkan dan dipantau oleh pimpinan pusat dan di peringkat PKR. Arahan yang saya berikan kepada jentera kita (PKR) di sini ialah untuk menguatkan kehadiran dan khidmat kita kepada rakyat di bawah,” katanya menurut Sinar Harian.
Beliau berkata demikian selepas Konvensyen Keadilan Menang Siri PRU16 (Kemas16) dan Pemerkasaan Organisasi Parti 25 Tahun (POP25), di Putatan.
Rafizi yang juga menteri ekonomi tidak mahu pilihan raya atau menyantuni rakyat bergantung sepenuhnya kepada komposisi merujuk jumlah kerusi bakal ditandingi pada PRN.
Beliau mahu PKR memainkan peranan jauh lebih baik dalam usaha membantu rakyat Sabah dari segi jurang kemiskinan.