Keldai akaun ditahan sebabkan kerugian hampir RM60,000

Keldai akaun ditahan sebabkan kerugian hampir RM60,000

Mangsa ditipu sindiket penipuan pekerjaan telah memasukkan wang ke akaun berbeza termasuk milik suspek.

handcuff
Kamarul Rizal Jenal berkata suspek ditahan untuk siasatan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.
BALIK PULAU:
Polis menahan lelaki berumur 58 tahun dipercayai keldai akaun kepada sindiket penipuan yang menawarkan kerja sambilan tidak wujud secara dalam talian sehingga menyebabkan mangsa kerugian RM59,569 baru-baru ini.

Ketua Polis Barat Daya Kamarul Rizal Jenal berkata suspek ditahan polis Bahagian Siasatan Jenayah Komersial Daerah Barat Daya di Bayan Lepas di sini semalam, hasil maklumat dan risikan yang dijalankan pihaknya.

“Mangsa telah membuat beberapa transaksi secara dalam talian ke akaun bank berbeza termasuk milik lelaki yang ditahan itu,” katanya ketika dihubungi Bernama malam tadi.

Beliau berkata lelaki itu kini direman dan usaha mengesan rangkaian sindiket penipuan terbabit giat dijalankan serta kes berkenaan disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

Dalam perkembangan lain, Kamarul Rizal berkata polis menahan seorang lelaki berumur 40 tahun hari ini di hadapan sebuah rumah di Pantai Acheh di sini bagi membantu siasatan kes merosakkan kenderaan milik seorang lelaki.

Beliau berkata berdasarkan siasatan awal, suspek bertindak memaki hamun, mengetuk kereta dengan batu dan membengkokkan cermin sisi kereta mangsa sehingga mengakibatkan kerosakan.

“Bertindak atas maklumat dan laporan polis yang dibuat mangsa, sepasukan polis telah menahan suspek dan dia kini direman bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 427 Kanun Keseksaan,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.