Hubungan PAS, Bersatu tak retak lepas kalah 2 PRK

Hubungan PAS, Bersatu tak retak lepas kalah 2 PRK

Ketua Penerangan PAS Ahmad Fadhli Shaari berkata, hubungan dua parti komponen PN itu baik-baik sahaja.

Ketua Penerangan PAS Ahmad Fadhli Shaari berkata, kekalahan PN pada dua PRK sebelum ini tidak boleh dijadikan ukuran sokongan rakyat terhadap gabungan pembangkang.
HULU LANGAT:
Kekalahan Perikatan Nasional (PN) pada dua PRK sebelum ini tidak akan menyebabkan hubungan antara parti komponennya, terutama PAS dan Bersatu retak, kata Ketua Penerangan PAS Ahmad Fadhli Shaari.

Fadhli berkata, hubungan PAS dengan Bersatu dalam PN baik, tidak seperti hubungan parti komponen gabungan lain, merujuk kepada Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH), yang sering bercakaran.

“Orang (gabungan) lain bermasalah, yang ada penyakit ‘kencing manis’ orang lain, yang ada ‘darah tinggi’ orang lain, bukannya parti dalam PN.

“Hubungan PAS, Bersatu baik sahaja tak ada isu, jadi kekalahan dua PRK itu tak boleh jadi ukuran, kononnya akan ada keretakan hubungan,” katanya pada sidang media selepas program munaqasyah ucapan dasar Presiden PAS ke-70 peringkat Selangor di Pusat Konvensyen Bangi.

Katanya lagi, kekalahan PN pada dua PRK itu tidak boleh dijadikan ukuran mengenai sokongan rakyat terhadap gabungan pembangkang kerana apa sahaja boleh berlaku pada PRU akan datang.

“Kalah PRK perkara biasa. Pada PRN Melaka, Johor kita kalah, (tetapi) bila datang PRU kita menang. Mungkin selepas ini, kita menang (perintah) Malaysia, mana tahu,” katanya.

Sebelum ini, penganalisis berpendapat, kekalahan PN dalam PRK Mahkota berisiko menggugat hubungan Bersatu dan PAS.

Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno Mohd Puad Zarkashi juga mendakwa, PN mula berasa takut dua komponen utama gabungan itu, iaitu Bersatu dan PAS, akan berpecah apabila kalah teruk pada PRK Mahkota.

Cara hidup bukan Islam tak berubah bawah PAS

Sementara itu, PAS Selangor memberi jaminan penduduk bukan Islam tidak perlu mengubah cara hidup mereka sekiranya PN berjaya mentadbir negeri itu atau Putrajaya selepas PRU akan datang.

Pesuruhjaya PAS Selangor Ab Halim Tamuri berkata, penduduk bukan Islam tidak seharusnya bimbang kerana parti itu menghormati hak kaum-kaum lain dan menjaga kebajikan semua bangsa di negara ini.

“Rakyat bukan Islam jangan bimbang dengan PAS sebab ini jaminan kita. PAS tak akan ganggu atau ubah cara hidup mereka, itu hak mereka.

“Kita akan pastikan PAS bersama PN hanya mahu menjaga kebajikan rakyat,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.