
KUALA LUMPUR: Keadaan banjir di Kedah pulih sepenuhnya manakala Selangor mencatatkan penurunan jumlah mangsa dan situasi di Perak tidak menunjukkan sebarang perubahan setakat 5 petang ini.
Di Kedah lapan pusat pemindahan sementara (PPS) yang dibuka di daerah Baling pada Khamis dan semalam ditutup secara berperingkat bermula 11 pagi hingga 5 petang ini.
Sementara itu, di Selangor, sebanyak 960 mangsa banjir masih berlindung di tujuh PPS, berbanding 1,195 mangsa pagi tadi.
Menurut portal Info Bencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) semua mangsa terdiri daripada penduduk Shah Alam, Gombak dan Kuala Selangor.
Di Perak, jumlah mangsa banjir kekal 121 orang dengan kesemuanya ditempatkan di tiga PPS di Taiping dan Kerian.