Terpedaya untung RM9 juta, lelaki rugi RM124,000

Terpedaya untung RM9 juta, lelaki rugi RM124,000

Mangsa berusia 47 tahun itu terjerat selepas melihat iklan skim pelaburan di aplikasi menawarkan keuntungan lumayan mencecah jutaan ringgit.

Mangsa pada awalnya mendapat keuntungan hasil melabur sebanyak RM55,000 dan diyakinkan untuk menambah pelaburan hingga RM124,000 sebelum tertipu, kata Ketua Polis Kota Tinggi Yusof Othman.
JOHOR BAHRU:
Lelaki warga tempatan kerugian RM124,000 selepas terperdaya dengan skim pelaburan tidak wujud yang diiklankan menerusi laman sosial.

Ketua Polis Kota Tinggi, Yusof Othman, berkata mangsa berusia 47 tahun itu mendakwa skim pelaburan menggunakan aplikasi dikenali L-Trader menawarkan keuntungan lumayan mencecah jutaan ringgit.

Beliau berkata mangsa melihat iklan di laman Facebook pada Mei lepas dan modus operandi sindiket dengan memberikan mangsa satu ID yang membolehkannya memantau sendiri status pulangan pelaburan di aplikasi berkenaan.

“Pada awalnya, mangsa mendapat keuntungan hasil melabur sebanyak RM55,000 dan diyakinkan untuk menambah pelaburan hingga RM124,000,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata mangsa yang telah melakukan 21 transaksi wang secara dalam talian ke tiga akaun berbeza, menyedari telah ditipu selepas gagal mengeluarkan keuntungan berjumlah RM9 juta seperti dipaparkan di aplikasi berkenaan.

Yusof berkata mangsa telah membuat laporan polis semalam dan kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

Pada masa sama, beliau mengingatkan orang ramai supaya tidak mudah terperdaya dengan tawaran pelaburan yang menjanjikan pulangan besar dalam tempoh singkat.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.