
Tertuduh, Mohd Syahid Hanapiah, 35, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan jurubahasa di hadapan Hakim Lailatul Zuraida Harron @ Harun, menurut Berita Harian.
Mengikut kertas pertuduhan, dia yang bekerja sebagai penjaga di rumah amal di Bandar Country Homes Rawang didakwa merotan seorang kanak-kanak lelaki berusia enam tahun hingga mungkin menyebabkan kecederaan ke atas mangsa.
Dakwaan terhadapnya dikemuakan mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 yang sabit kesalahan boleh dipenjara maksimum 20 tahun dan denda RM50,000 atau kedua-duanya sekali.
Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Nurilya Ellyna Nor Azmal yang mengendalikan pendakwaan mencadangkan jaminan RM20,000 dengan tiga syarat tambahan iaitu dilarang berjumpa dan mengganggu mangsa, perlu melaporkan diri di balai berdekatan dan tertuduh mesti boleh dihubungi pada bila-bila masa oleh pihak berkuasa.
Bagaimanapun, tertuduh yang tidak diwakili peguam memohon jumlah itu dikurangkan kerana dia menghadapi masalah kewangan, kerja dan masalah keluarga.
Mahkamah kemudian membenarkan jaminan RM10,000 dengan seorang penjamin dan tertuduh dilarang mengganggu mangsa serta saksi kes, selain menetapkan 5 November depan untuk sebutan semula kes dan lantikan peguam.