
Menteri Kesihatan, Dzulkefly Ahmad, berkata penguatkuasaan Akta 852 yang lebih menyeluruh berupaya membantu mencapai sasaran itu berbanding 19% direkodkan melalui Tinjauan Tembakau Dewasa Global (GATS) Malaysia 2023.
“Walaupun prevalen penggunaan tembakau berkurang daripada 21.3% kepada 19%, terdapat peralihan daripada merokok konvensional kepada penggunaan vape.
“Sekarang kita tinggal 4% untuk mencapai sasaran terbabit dan saya berharap kita dapat mencapainya menjelang Disember 2025 untuk (mendapat angka) 15% atau kurang daripadanya,” katanya pada sesi taklimat media berkaitan Akta 852 di KKM.
Dzulkefly berkata demikian ketika ditanya apakah pencapaian disasarkan KKM selepas Akta 852 dikuatkuasakan 1 Okt lalu.
Selain penguatkuasaan serta-merta, KKM turut melaksanakan penguatkuasaan pendidikan bagi tempoh enam hingga 12 bulan, termasuk aspek pendaftaran produk merokok yang akan dikuatkuasakan bermula 1 April 2025.
KKM juga menguatkuasakan larangan serta-merta atas penjualan produk rokok di institusi pendidikan, pasar jualan, dalam talian dan mesin layan diri.
Turut dilarang serta-merta apa jua bentuk iklan, promosi dan tajaan semua jenis produk merokok, yang menyasarkan kanak-kanak dan remaja.