
ASF menghimpunkan lebih 200 delegasi dari 16 negara, termasuk wakil kerajaan, persekutuan majikan dan kesatuan pekerja untuk memudahkan perbincangan mengenai cabaran serta peluang dalam pembangunan modal insan serta penyelarasan strategi pembangunan kemahiran di rantau ini.
Forum ini sangat penting ketika Malaysia bersiap sedia menjadi pengerusi Asean tahun depan dan mencadangkan Tahun Kemahiran Asean (AYOS) 2025 yang dijangka bermula Januari depan.
AYOS 2025 akan diterajui Kesuma melalui HRD Corp untuk memacu pelbagai program dan aktiviti pembangunan kemahiran sepanjang tahun depan.
Menteri Sumber Manusia, Steven Sim berkata, sejak pertengahan abad ke-20, Malaysia menerima pelaburan daripada industri berteknologi tinggi terkemuka dari seluruh dunia seperti Intel Corporation, Hewlett-Packard (kini Keysight Technologies dan Agilent Technologies), Robert Bosch, AMD, Litronix (kini ams Osram), Hitachi (kini Renesas), Clarion dan National Semiconductor.
“Hari ini, Malaysia menjadi tuan rumah kepada pemain teknologi global seperti Nvidia, Micron, Infineon, Geely, Rongsheng, Microsoft, Google, Bytedance, AWS dan banyak lagi dengan pelaburan melebihi RM30 bilion.
“Oleh itu, penting bagi Malaysia bekerjasama dengan rakan-rakan Asean kita untuk menarik, membangun dan mengekalkan aliran bakat berkemahiran tinggi, dinamik serta pelbagai,” katanya ketika berucap merasmikan ASF di Kuala Lumpur hari ini.
Ketua Eksekutif HRD Corp, Shahul Dawood berkata, dengan populasi lebih 690 juta dan 340 juta tenaga kerja, Asean memegang kedudukan strategik dalam pasaran tenaga kerja global, dengan tenaga kerjanya berpotensi memacu pertumbuhan ekonomi serantau dan global.
“Oleh itu, penting bagi negara anggota Asean menangani cabaran utama yang menjejaskan pasaran buruh rantau ini, termasuk memformalkan sektor informal, pengangguran belia, ketidaksamaan jantina, penghijrahan tenaga kerja, perlindungan sosial dan pembangunan kemahiran.”
Beliau berkata, AYOS 2025 bertujuan menangani cabaran itu dengan menyokong pertumbuhan dan daya saing mampan, merapatkan jurang kemahiran serta memastikan tenaga kerja Asean memenuhi keperluan industri.
“Ini akan dicapai melalui program latihan terfokus dan peningkatan kemahiran berterusan, mempersiapkan individu untuk peluang pekerjaan baharu.
“Selain itu, AYOS 2025 akan memudahkan pertukaran bakat serantau, membolehkan profesional berkemahiran untuk bergerak merentasi negara Asean, membantu berkongsi pengetahuan dan menangani kekurangan kemahiran tempatan sambil meningkatkan kerjasama dan inovasi.”
Sementara itu, Sim mengumumkan penambahbaikan kepada Matrik Kos Yang Dibenarkan (ACM), termasuk membenarkan yuran kursus dituntut berdasarkan kadar setiap jam berbanding setengah hari atau sehari penuh untuk majikan memanfaatkan program latihan jangka pendek.
“HRD Corp juga akan menaikkan had yuran kursus sehingga RM1,500 sejam atau RM10,500 sehari berbanding had sebelumnya sebanyak RM6,000 sehari. Ini akan membolehkan majikan menyediakan program latihan lebih berkualiti dan bernilai tinggi untuk pekerja mereka, selaras permintaan industri.”