Kenyataan ‘penumpang’ pandangan peribadi Nur Jazlan, kata pemimpin Umno

Kenyataan ‘penumpang’ pandangan peribadi Nur Jazlan, kata pemimpin Umno

Naib Presiden Umno Khaled Nordin ulas kenyataan Ahli MKT Nur Jazlan Mohamed bahawa PKR dan Amanah bukan parti penting.

Nur Jazlan Mohamed dikritik beberapa pemimpin PH selepas mendakwa PKR dan Amanah hanya ‘penumpang’ dalam kerajaan perpaduan. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Naib Presiden Umno Khaled Nordin berkata kenyataan Ahli Majlis Kerja Tertinggi Nur Jazlan Mohamed yang PKR dan Amanah hanya ‘penumpang’ dalam kerajaan perpaduan adalah pandangan peribadi.

Beliau bagaimanapun enggan mengulas lanjut ketika ditanya mengenai kenyataan mencetuskan kontroversi dan tidak disenangi beberapa pemimpin Pakatan Harapan (PH) itu.

Khaled Nordin.

“Itu pandangan peribadi,” katanya kepada FMT.

Terdahulu, Nur Jazlan dilaporkan berkata PKR dan Amanah bukan parti penting atau layak duduk semeja dalam permainan ‘poker politik’ di peringkat persekutuan mahupun Johor.

Kenyataan itu menyusul desakan segelintir ahli PH supaya kerajaan perpaduan ditubuhkan di Johor selepas kemenangan Barisan Nasional (BN) pada PRK Mahkota, Sabtu lalu.

Susulan itu, Nur Jazlan dikritik pemimpin gabungan tersebut antaranya Ahli Jawatankuasa Tertinggi Pusat (CEC) DAP Lee Chin Chen dan Adun Kota Anggerik daripada PKR Najwan Halimi yang menyifatkan kenyataan ketua Umno Pulai sebagai tidak wajar dan hanya akan merosakkan perpaduan PH.

Puad Zarkashi.

Sementara itu, Ahli MKT Umno Puad Zarkashi berkata istilah penumpang digunakan Nur Jazlan sekadar provokasi supaya semua pihak tidak terlalu ‘gelojoh atau banyak menuntut dalam kerjasama politik’.

Katanya, perbezaan pendapat boleh menjadi mekanisme semak dan imbang dalam memperkuatkan parti, justeru setiap pemimpin wajar diberi ruang menzahirkan pandangan peribadi mereka.

“Justeru, untuk bersikap adil kepada Nur Jazlan, seseorang itu kena baca sampai habis apa yang dia tulis, jangan baca tajuk sahaja.

“Istilah penumpang diguna Nur Jazlan memang keras, saya percaya ia hanya satu provokasi agar semua pihak tidak terlalu gelojoh dan ‘demanding’, biar kita lebih matang membina persahabatan,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.