Didakwa hina Agong, Iswardy Morni diperintah bela diri

Didakwa hina Agong, Iswardy Morni diperintah bela diri

Hakim membuat keputusan itu selepas mendapati pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie terhadap aktivis terbabit pada akhir kes pendakwaan.

Iswardy Morni
Iswardy Morni didakwa menyebut kata-kata menghasut yang mempunyai kecenderungan mendatangkan penghinaan terhadap Yang di-Pertuan Agong menerusi Facebooknya pada 29 Mei 2021. (Gambar Bernama)
KUALA LUMPUR:
Mahkamah Sesyen di sini memerintahkan seorang aktivis membela diri atas pertuduhan mengeluarkan kenyataan menerusi Facebook miliknya yang berbaur hasutan dan menghina Yang di-Pertuan Agong, tiga tahun lepas.

Hakim M M Edwin Paramjothy memutuskan demikian selepas mendapati pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie terhadap Iswardy Morni, 47, pada akhir kes pendakwaan.

“Setelah meneliti keterangan saksi pendakwaan dan hujahan kedua-dua pihak, saya mendapati pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie terhadap tertuduh. Oleh itu, tertuduh diperintah membela diri,” katanya.

Prosiding itu dihadiri Timbalan Pendakwa Raya, Iznina Hanim Hashim, manakala tertuduh diwakili peguam Faizal Rahman.

Sembilan saksi pendakwaan memberi keterangan dalam perbicaraan kes itu bermula 3 Jan 2022.

Iswardy didakwa mengeluarkan kenyataan di Facebook miliknya, Iswardy Morni Official dengan menyebut kata-kata menghasut yang mempunyai kecenderungan mendatangkan penghinaan terhadap Yang di-Pertuan Agong di pejabat Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman di sini pada 3 petang 29 Mei 2021.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 4 (1) (a) Akta Hasutan 1948 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 4 (1) akta sama yang memperuntukkan denda hingga RM5,000 atau penjara maksimum tiga tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.