Dakwa guru paling ramai ambil MC tak bertanggungjawab, kata Fadhlina

Dakwa guru paling ramai ambil MC tak bertanggungjawab, kata Fadhlina

Cuepacs sebelum ini mendakwa golongan guru adalah kumpulan penjawat awam paling ramai terbabit salah laku memalsukan MC.

fadhlina
Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek berkata dakwaan yang dilemparkan telah menimbulkan persepsi negatif terhadap profesion perguruan. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Dakwaan mengaitkan guru sebagai penjawat awam yang paling ramai memalsukan sijil cuti sakit (MC) adalah tidak bertanggungjawab, kata Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek.

Beliau menegaskan, dakwaan sedemikian telah menimbulkan persepsi negatif terhadap profesion perguruan dan isu tersebut tidak sepatutnya berbangkit.

“Tatakelola penjawat awam sentiasa diberi perhatian bagi memastikan prestasi perkhidmatan terbaik untuk masyarakat.

“Kementerian Pendidikan (KPM) juga mempunyai peraturan yang jelas bagi menangani isu tatatertib penjawat awam,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Kongres Kesatuan Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) sebelum ini mendakwa bahawa golongan guru adalah kumpulan penjawat awam paling ramai terbabit dalam salah laku memalsukan MC.

Cuepacs juga dilapor mendakwa kira-kira 1% hingga 2% daripada 10,000 penjawat awam dikenal pasti memberi MC palsu, selain menggunakan cuti kecemasan semata-mata mahu melanjutkan tempoh bercuti.

Setiausaha Agung Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan Semenanjung Malaysia (NUTP) Fouzi Singon turut membidas dakwaan itu yang dianggap mempertikaikan profesionalisme 450,000 guru.

Selain itu, Fadhlina berkata, kementerian sentiasa melakukan pemantauan di setiap peringkat dan penjawat awam yang terlibat dalam sebarang salah laku akan dikenakan tindakan.

“Ketika ini terdapat lebih 400,000 guru di seluruh negara yang menjalankan tanggungjawab dengan penuh komitmen dan integriti.

“Kerajaan Madani juga menghargai peranan penting guru dalam membangunkan negara selain melaksanakan pelbagai usaha untuk memelihara kesejahteraan warga pendidik,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.