Banjir di Selangor, 1,968 mangsa dipindah ke PPS

Banjir di Selangor, 1,968 mangsa dipindah ke PPS

Tiga daerah yang terjejas akibat banjir malam tadi adalah Shah Alam, Gombak dan Kuala Selangor.

banjir
Anggota bomba membantu mangsa banjir yang terpaksa dipindahkan ke enam pusat pemindahan sementara di Selangor.  (Gambar JBPM)
PETALING JAYA:
Seramai 1,968 mangsa daripada 480 keluarga terpaksa dipindahkan ke enam pusat pemindahan sementara (PPS) selepas tiga daerah di Selangor dilanda banjir malam tadi.

Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Ahmad Mukhlis Mukhtar, berkata daerah terjejas adalah Shah Alam, Gombak dan Kuala Selangor.

“Seramai 1,968 mangsa daripada 480 keluarga diselamatkan oleh pasukan bomba yang ke lokasi bagi operasi banjir.

“Mereka ditempatkan di enam PPS dibuka di Dewan Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) Seri Pagi, Paya Jaras; Dewan Kenanga; Dewan MBSA Bunga Matahari; Dewan Majlis Perbandaran Selayang (MPS) Seri Kundang; Sekolah Rendah Agama Kuang; Sekolah Kebangsaan Desa Aman,” katanya dalam kenyataan hari ini, menurut Harian Metro.

Menurutnya, operasi itu disertai 54 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Sungai Buloh, Bestari Jaya, Selayang, Batu Arang, Bukit Jelutong serta Dengkil.

Katanya, mereka turut memantau 21 lokasi dinaiki air antaranya di Kampung Kubu Gajah, Merbau Sempah, Kampung Cempedak di Kuang; Kampung Melayu Subang, dan Jalan Tembusu, Subang.

“Pemantauan turut dilakukan di Kampung Sri Aman, Taman Saujana Aman, Kampung Parit Mahang di Kuala Selangor; Sungai Buah, Jambatan Sekolah Vokasional, Revolusi Hijau dan Pasar Dengkil di Sepang.

“Selain itu, Kampung Selayang Baru, Kampung Laksamana, Indian Sattlement di Selayang; Taman Rahmat Jaya Kundang, Lorong Utama 1, Lorong Setia 7, Kampung Melayu Sri Kundang, Lorong Haji Talib, Kampung Gombak dan Kampung Bunga Raya di Gombak,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.