
Merujuk kes terbaru membabitkan bekas guru wanita di Terengganu yang rugi RM201,900, Timbalan Presiden Persatuan Pesara Pegawai Perkhidmatan Pendidikan Malaysia Jemale Paiman berkata individu terbabit mungkin sudah bertugas sekitar 30 tahun untuk mempunyai simpanan sedemikian.
“Biasanya penjawat awam berkhidmat 30 tahun ke atas dengan gaji akhir RM5,000 akan dapat ganjaran, (bayaran) tidak kurang RM200,000 hingga RM300,000.
“Sebab itu kena lebih berhati-hati terutama bila dapat panggilan dari nombor tidak dikenali…mungkin sindiket mahu jadikan mereka sasaran,” katanya kepada FMT.
Dalam kes itu, polis berkata kejadian bermula 31 Ogos lalu apabila mangsa menerima panggilan daripada individu mendakwa sebagai kakitangan Ampang Medical Centre yang memberitahunya tuntutan insurans sebanyak RM68,800, namun dinafikan mangsa.
Pada 24 Sept lalu, suspek kembali menghubungi mangsa dan mengarahkannya membuka akaun di sebuah bank dengan deposit awal sebanyak RM5,000, konon untuk tujuan pemantauan oleh Bank Negara (BNM).
Mangsa turut memindahkan sejumlah RM201,900 ke akaun baharu itu dan semakan mendapati, baki di dalamnya hanya tinggal RM100, dan sebanyak 20 transaksi dilakukan dari akaun berkenaan ke akaun bank tidak dikenali.
Pakar teknologi maklumat (IT), Muhidin Arifin, berkata sindiket biasanya mengambil kesempatan terhadap warga emas termasuk pesara yang tidak cekap mengendalikan peranti dan komunikasi sehingga terperangkap dengan mengikut ‘arahan’ sindiket.
Sehubungan itu, Muhidin mencadangkan pesara menganggap setiap ‘panggilan tidak dikenali’ sebagai ‘penipuan’, selain tidak memberi butiran sensitif tanpa mengesahkan identiti pemanggil melalui sumber dipercayai.
“Kemas kini maklumat hubungan dengan keluarga terdekat supaya hanya jawab panggilan dari orang dikenali sahaja.
“Jadi boleh kurangkan risiko jadi mangsa ‘penyangak’ siber dan melindungi simpanan hasil titik peluh mereka,” katanya yang juga ketua pegawai operasi Selangor Technical Skills Development Centre (STDC).