
Ketua Polis Johor Bahru Selatan, Raub Selamat, kejadian berlaku selepas mangsa berusia 69 tahun itu menerima panggilan pada 3 Jun lalu daripada individu memperkenalkan dirinya sebagai ‘Sarjan Zuraidi’.
Katanya, individu itu mendakwa mangsa terlibat dalam kes penggubahan wang haram serta pembiayaan keganasan.
“Tidak lama kemudian mangsa menerima satu lagi panggilan daripada nombor telefon berbeza, kononnya dari pejabat mahkamah yang mengarahkan mangsa membuat bayaran bagi mengelakkan hukuman penjara.
“Akibat ketakutan mangsa menuruti arahan suspek dan membuat 44 transaksi pemindahan wang antara 30 Jun hingga 9 Oktober lalu, berjumlah RM308,000 ke empat akaun bank berbeza,” katanya dalam satu kenyataan, menurut Harian Metro.
Katanya semakan awal mendapati semua empat akaun terbabit tidak memiliki rekod penipuan telefon.
“Mangsa hanya menyedari dirinya ditipu selepas terus diarahkan membuat pemindahan tambahan dan mula berasa curiga terhadap panggilan diterima.
“Kita sedang melakukan siasatan lanjut bagi mengenal pasti dan mengesan individu terbabit.
“Polis dan bank tidak akan sesekali mengarahkan mana-mana individu memindahkan wang ke akaun peribadi untuk tujuan siasatan,” katanya.
Menurutnya, kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu.