Polis tahan pelajar IPTS pukul 2 lelaki guna kunci stereng

Polis tahan pelajar IPTS pukul 2 lelaki guna kunci stereng

Polis berkata kejadian berlaku akibat rasa tidak puas hati suspek terhadap kedua-dua mangsa ketika memandu kereta.

Tangkap layar video tular menunjukkan suspek memukul dua lelaki menggunakan kunci stereng kereta dalam satu kejadian di jalan raya di pekan Dengkil.
PETALING JAYA:
Polis menahan seorang pemandu kereta yang juga pelajar institut pengajian tinggi swasta kerana disyaki memukul dua lelaki menggunakan kunci stereng kereta dalam satu kejadian di jalan raya dekat Dengkil.

Pemangku Ketua Polis Sepang, Shan Gopal Karpal berkata, lelaki berusia 20 tahun itu ditahan selepas seorang daripada mangsa membuat laporan polis pada 12.17 tengah hari tadi, lapor Harian Metro.

Katanya, kejadian berlaku akibat rasa tidak puas hati suspek terhadap kedua-dua mangsa ketika memandu kereta di kawasan itu.

“Kejadian yang berlaku kira-kira 11.50 pagi itu yang menyebabkan kedua-dua mangsa cedera di kepala dan tangan.

“Polis turut merampas satu kunci stereng yang digunakan untuk mencederakan mangsa,” katanya.

Shan Gopal berkata, siasatan lanjut masih dijalankan mengikut Seksyen 324 Keseksaan yang membawa hukuman penjara hingga 10 tahun atau denda atau sebat.

Terdahulu, satu video yang memaparkan lelaki itu memukul kedua-dua mangsa menggunakan kunci stereng kereta di tengah jalan raya turut tular di media sosial.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.