
Ahli Parlimen Beluran, Ronald Kiandee, berkata dua perkara perlu dilaksanakan kerajaan persekutuan dalam MA63 iaitu pertama, 40% kutipan cukai di Sabah harus dipulangkan kepada negeri itu.
“Kedua, pembentukan Malaysia di mana Sabah dan Sarawak mesti menguasai satu pertiga daripada keseluruhan bilangan kerusi Dewan Rakyat. Dua perkara ini adalah semangat perjanjian Malaysia,” kata pengerusi Perikatan Nasional (PN) Sabah dan naib presiden Bersatu kepada FMT.

“Kalau kerajaan persekutuan kata mereka menghormati kehadiran Sabah dan Sarawak dalam MA63, dua perkara ini harus dilaksanakan tanpa alasan.”
Kelmarin, Ketua Menteri Hajiji Noor berkata sudah tiba masa kajian dilaksanakan bagi menambah bilangan kerusi Parlimen di Sabah.
Katanya, jumlah kawasan DUN sebelum ini ditambah 13 daripada 60 sekali gus menyaksikan 73 kerusi dipertandingkan pada PRN lalu.
“Saya fikir sudah cukup syarat untuk kita mengkaji bilangan tambahan kerusi Parlimen,” katanya yang menyuarakan hasrat itu kepada Perdana Menteri Anwar Ibrahim ketika Mesyuarat Majlis Tindakan Pelaksanaan MA63, 12 Sept lalu.
PRU15 pada November 2022 menyaksikan 25 kerusi Parlimen dipertandingkan di Sabah.
Hasrat sama disuarakan Premier Sarawak Abang Johari Openg baru-baru ini yang menggesa kerajaan persekutuan mengembalikan kuota 35% atau satu pertiga daripada keseluruhan bilangan kerusi Parlimen kepada kedua-dua negeri.
Dalam pada itu, Kiandee berkata kajian segera perlu dilakukan kerajaan untuk menambah kerusi Parlimen di Sabah, kemudian membawanya ke Parlimen untuk disokong kerana sudah lama tertangguh.
“Perkara ini tertangguh sejak sekian lama, jadi ia harus diterjemahkan melalui pindaan dalam Akta Suruhanjaya Pilihan Raya dengan melakukan proses persempadanan semula,” katanya.

Beliau berkata, isu pertambahan kerusi pernah dibincangkan semasa pemerintahan kerajaan sebelum ini dengan penubuhan Jawatankuasa Kabinet dipengerusikan Bernard Dompok iaitu menteri perusahaan, perladangan dan komoditi ketika itu.
Sementara itu, Ahli Parlimen Sepanggar yang juga Ketua PKR Sabah, Mustapha Sakmud, berkata isu tersebut bukan baharu malah pernah dimasukkan dalam manifesto partinya.
Katanya, kuota 35% atau satu pertiga daripada keseluruhan bilangan kerusi Parlimen adalah hasrat besar rakyat Sabah.
“Namun, ia perlu berdasarkan kajian menyeluruh oleh SPR untuk dibentangkan di Parlimen,” kata timbalan menteri pendidikan tinggi.