Dakwaan Seksyen 41(A) Akta SPRM sasar Najib tak berasas, kata TPR

Dakwaan Seksyen 41(A) Akta SPRM sasar Najib tak berasas, kata TPR

Ahmad Akram Gharib membidas hujah peguam Najib Razak bahawa seksyen itu dikuatkuasakan Oktober 2018 semata-mata untuk menganiaya bekas PM.

Najib Razak, 71, berdepan empat tuduhan menyalahgunakan kedudukannya untuk memperoleh RM2.3 bilion dana 1MDB antara 2011 dan 2014. (Gambar Bernama)
KUALA LUMPUR:
Pendakwaan menafikan Seksyen 41(A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 diwujudkan semata-mata untuk mendakwa Najib Razak atas tuduhan menyeleweng RM2.3 bilion dana 1MDB.

Timbalan Pendakwa Raya (TPR) Ahmad Akram Gharib berkata hujah Shafee Abdullah mendakwa seksyen itu digubal dan dikuatkuasakan pada Oktober 2018 semata-mata untuk menganiaya bekas perdana menteri itu adalah tidak berasas.

“Seksyen itu dibentangkan kepada Parlimen pada 14 April 2018 oleh bekas timbalan menteri di Jabatan Perdana Menteri, Razali Ibrahim.

“Pada 14 April 2018, Najib masih menjadi perdana menteri dan Razali adalah antara ahli Jemaah Menterinya,” katanya menambah, susulan pembentangan pada April 2018, Seksyen 41(A) Akta SPRM kemudian dikuat kuasa pada 1 Okt 2018.

Justeru, katanya, kenyataan ia hanya digubal selepas Najib tidak lagi menjadi perdana menteri adalah sesuatu yang tidak tepat.

Hakim Mahkamah Tinggi Collin Lawrence Sequerah, yang mendengar kes Najib, kemudian menetapkan 30 Okt ini untuk memutuskan sama ada Najib perlu membela diri atau dibebaskan daripada kesemua 25 tuduhan membabitkan dana 1MDB.

Najib, 71, berdepan empat tuduhan menyalahgunakan kedudukannya untuk memperoleh RM2.3 bilion daripada dana 1MDB di AmIslamic Bank Berhad cawangan Jalan Raja Chulan, Bukit Ceylon antara 24 Feb 2011 dan 19 Dis 2014.

Dia turut didakwa atas 21 tuduhan pengubahan wang haram membabitkan jumlah sama di bank serupa antara 22 Mac dan 30 Ogos 2013.

Najib didakwa mengikut Seksyen 23(1) Akta SPRM 2009 dan Seksyen 4(1)(a) Akta Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.