
Ketua Polis Negara Razarudin Husain berkata tempoh reman 24 individu terbabit akan tamat esok dan setakat ini, mereka tidak ditahan di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) atau Sosma.
“Secara keseluruhan, seramai 93 ahli GISBH masih lagi direman manakala 34 individu lain ditahan di bawah Sosma,” katanya ketika dihubungi.
Sebelum ini, 24 individu termasuk pimpinan tertinggi syarikat itu direman dua kali, masing-masing tujuh dan empat hari, bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 32(a) Akta Kanak-Kanak, Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia, serta Seksyen 14 Atipsom pada 19 Sept lepas.
Mereka ditahan semula bersabit kertas siasatan kes buruh paksa mengikut Seksyen 12 Atipsom, dan direman selama lima hari pada Isnin lepas yang akan berakhir esok.
Mengulas hasil siasatan dakwaan kewujudan pusat kuarantin GISBH di beberapa lokasi dalam dan luar negara pada Sabtu lepas, beliau berkata terdapat 10 pusat kuarantin di Malaysia manakala dua lagi di Indonesia dan Turkiye.
“Siasatan lanjut ke atas 10 pusat kuarantin tersebut mendapati bahawa tiga diserbu pada 21 Sept lepas manakala tujuh lagi didapati sudah tidak beroperasi.
“Tiga pusat kuarantin yang diserbu adalah di Air Bintan, Kota Tinggi (Pusat Perniagaan dan Ikhwan Resort di Johor), Labu Lanjut di Sepang, dan Batu Hampar di Perak.
“Siasatan sehingga kini masih belum menunjukkan elemen-elemen lokasi tersebut dijadikan pusat kuarantin,” katanya.
Razarudin berkata jumlah terkini pembekuan aset di bawah Seksyen 44(1) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan (AMLATFPUAA) ialah 205 akaun berjumlah RM1,358,020.37; serta satu akaun berjumlah USD1,344.26; selain 31 kenderaan dan bas pelbagai jenis dan 19 lot hartanah.
“Jumlah terkini keseluruhan penyitaan aset di bawah Seksyen 45(2) AMLATFPUAA adalah 19 kenderaan dan sebuah lori, haiwan dengan nilai anggaran keseluruhan RM230,000, wang tunai berjumlah RM16,850, dan dua utas jam tangan dianggarkan bernilai RM600,” katanya.
Berhubung dakwaan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) tidak membenarkan anak-anak ahli GISBH kembali kepada keluarga, Razarudin berkata jabatan itu adalah agensi yang diberikan kuasa oleh mahkamah melalui perintah jagaan sementara di bawah Seksyen 25 (2) Akta Kanak-kanak.
“Pihak JKM diperintah untuk menempatkan kanak-kanak tersebut di bawah jagaan mereka apabila adanya aduan berlaku pengabaian, penderaan atau penganiayaan oleh ibu bapa atau penjaga sehingga suatu siasatan menyeluruh dijalankan dan keputusan siasatan dibuat oleh pihak Jabatan Peguam Negara,” katanya.
Beliau berkata dalam kes membabitkan Op Global, ibu bapa kanak-kanak yang diselamatkan adalah suspek yang sedang disiasat bagi pengabaian kanak-kanak.
Polis melancarkan Op Global pada awal bulan lepas dan telah menyerbu rumah amal di seluruh Semenanjung yang dikaitkan dengan GISBH kerana disyaki terlibat dalam kegiatan eksploitasi kanak-kanak serta agama.
Hasil serbuan, seramai 572 mangsa berjaya diselamatkan selain membawa kepada penahanan 359 pengikut GISBH termasuk pengurusan tertinggi syarikat tersebut.