Abang Adik wakil Malaysia di Anugerah Akademi tahun depan

Abang Adik wakil Malaysia di Anugerah Akademi tahun depan

Karya arahan Jin Ong itu sudah merangkul 19 anugerah antarabangsa.

Filem Abang Adik mencipta fenomena pada 2023 dengan kutipan pecah panggung RM14.6 juta di Taiwan dan RM1.55 juta di Hong Kong. (Gambar Facebook)
KUALA LUMPUR:
Filem Abang Adik terus menerima pengiktirafan apabila secara rasmi dipilih mewakili Malaysia bagi kategori Filem Cereka Antarabangsa di Anugerah Akademi ke-97 pada Mac 2025.

Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (Finas) dalam kenyataan memaklumkan pemilihan filem arahan sulung pengarah Jin Ong itu dibuat hasil beberapa siri penilaian Jawatankuasa Pemilihan Filem (JKPF) terdiri daripada profesional dalam bidang perfileman dan pematuhan syarat penyertaan yang ditetapkan oleh pihak penganjur Anugerah Akademi.

“Filem terbitan More Entertainments Sdn Bhd ini menampilkan lakonan hebat Jack Tan dari Malaysia dan Kang Ren Wu dari Taiwan. Karya ini telah merangkul 19 anugerah antarabangsa – satu pencapaian yang membuktikan filem Malaysia mampu bersaing dan menyerlah di peringkat global,” menurut kenyataan itu.

Antara pencapaian tertinggi Abang Adik ialah anugerah Filem Terbaik di Festival Filem Asia New York (Uncaged Competition ke-22), dan merangkul Golden Mulberry, Black Dragon Critics’ Award, serta White Mulberry Award untuk Filem Cereka Terbaik di Far East Film Festival ke-25 di Udine, Itali.

Selain itu, filem tersebut juga menerima pengiktirafan di Festival Filem Antarabangsa Fribourg ke-37, Switzerland dan Festival Filem First di China.

“Filem Abang Adik turut mencatatkan kejayaan luar biasa di China dengan kutipan pawagam mencecah RM2.2 juta setakat 30 Sept selepas mula ditayangkan pada 21 Sept 2024.

“Filem ini mencipta fenomena pada 2023 dengan kutipan pecah panggung sebanyak RM14.6 juta di Taiwan dan RM1.55 juta di Hong Kong, menjadikannya filem Malaysia pertama yang mencatatkan rekod tayangan tertinggi,” menurut kenyataan itu.

Di peringkat tempatan, filem berkenaan mencatatkan kemenangan di Malaysia Global Golden Awards (MGGA) 2024 dengan meraih anugerah Pelakon Lelaki Terbaik dan Pelakon Pembantu Lelaki Terbaik.

Tayangan di Malaysia pada Disember 2023 turut mencatatkan kutipan sebanyak RM5.7 juta, membuktikan sambutan yang memberangsangkan daripada penonton tempatan.

“Diharap perkembangan positif dalam penghasilan filem tempatan bernilai tinggi dapat diteruskan bagi memperkukuh industri perfileman negara di arena antarabangsa,” menurut Finas.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.