Wajib guna MyDigital ID log masuk MyJPJ idea ‘sangat buruk’, kata Ong

Wajib guna MyDigital ID log masuk MyJPJ idea ‘sangat buruk’, kata Ong

Bekas Ahli Parlimen Bangi itu mempertikai langkah memaksa pengguna menggunakan sistem yang belum diuji.

Ong Kian Ming
Ong Kian Ming berkata, kaedah log masuk baharu bagi aplikasi MyJPJ, iaitu menggunakan MyDigital ID, tidak mengambil kira masalah sedia ada yang dihadapi ramai pengguna.
PETALING JAYA:
Seorang bekas timbalan menteri membantah keras langkah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) menghendaki pengguna hanya menggunakan MyDigital ID untuk log masuk ke aplikasi mudah alihnya.

Ong Kian Ming, yang menyokong sistem pengenalan digital nasional itu menyifatkan langkah JPJ sebagai idea yang ‘sangat buruk’ kerana ia memaksa pengguna menggunakan sistem yang belum diuji.

“Lebih bagus perkenalkan versi elektronik pasport kita, yang boleh diakses melalui MyDigital ID sebagai cara memberi insentif kepada orang ramai untuk mendaftar dan menggunakan MyDigital ID, produk baharu (dengan) protokol baharu,” katanya dalam rajutan di platform media sosial X.

Bekas Ahli Parlimen Bangi itu juga berkata, kaedah log masuk baharu itu tidak mengambil kira masalah sedia ada yang dihadapi ramai pengguna, termasuk dirinya, ketika mendaftar MyDigital ID menerusi aplikasi mudah alih.

Katanya, perlu ada strategi menyeluruh kerajaan melibatkan pelbagai kementerian dan agensi, memandangkan penyelarasan dalam pelancaran MyDigital ID lemah.

“Apa yang kita ada sekarang ialah pendekatan caca-marba dengan pendaftaran Padu (Pangkalan Data Utama) dan Budi sepatutnya dilakukan melalui MyDigital ID tetapi atas pelbagai sebab, menggunakan sistem pendaftaran yang berasingan,” katanya.

Mulai 10 Okt, pengguna perlu menggunakan MyDigital ID untuk log masuk ke aplikasi MyJPJ sebagai sebahagian daripada usaha negara ke arah pendigitalan dan akses yang diperkemas bagi perkhidmatan kerajaan.

Bagaimanapun, pengumuman itu mencetuskan pelbagai reaksi dalam kalangan rakyat, dengan segelintir pengguna mempersoalkan mengapa sistem pengenalan itu diwajibkan sedangkan aplikasinya dibelenggu pelbagai masalah.

Walaupun Ong mengiktiraf JPJ, yang mempunyai pangkalan data terbesar pengguna aktif, akan menjadi agensi utama untuk mempromosikan MyDigital ID, beliau berkata, pendekatan log masuk baharu itu bukan cara yang tepat untuk melaksanakannya.

Aplikasi itu kini diuruskan oleh Mimos Bhd, agensi bawah Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (Mosti), namun Ong sebaliknya mencadangkan ia diletakkan bawah Kementerian Digital untuk memastikan akauntabiliti dan penyelarasan yang lebih jelas.

“Dalam pada itu, jangan wajibkan guna MyDigital ID sebagai (cara) log masuk tunggal bagi aplikasi MyJPJ,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.