Ubah suai ruang isi diesel, bot bersama 8 kru Vietnam ditahan

Ubah suai ruang isi diesel, bot bersama 8 kru Vietnam ditahan

Dianggarkan 1,700 liter bahan api itu boleh disimpan dalam ruang itu yang sepatutnya jadi ruang simpanan ikan.

Bot Maritim
Pengarah Zon Maritim Mersing, Suhaizan Saadin, berkata bot nelayan tempatan itu dibawa ke Jeti Maritim Malaysia Pos Teluk Gading bagi siasatan lanjut. (Gambar Bernama)
MERSING:
Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) menahan sebuah bot bersama lapan kru warga Vietnam selepas dipercayai menyimpan bahan api di ruang simpanan ikan bot berkenaan secara tidak sah.

Pengarah Zon Maritim Mersing, Suhaizan Saadin, berkata semua lelaki berusia dalam lingkungan 32 hingga 46 tahun itu ditahan dalam Op Jaksa dan Op Tiris pada kedudukan satu batu nautika timur laut Pulau Layak, kira-kira 12.30 tengah hari semalam.

Beliau berkata, hasil pemeriksaan mendapati bot nelayan tempatan itu disyaki telah melakukan kesalahan dengan mengubah suai ruang simpanan ikan untuk mengisi minyak dipercayai diesel yang dianggarkan 1,700 liter.

“Hasil siasatan lanjut mendapati salah seorang daripada mereka tidak mempunyai dokumen pengenalan diri yang sah serta tidak mempunyai kelulusan untuk bekerja di atas vesel penangkapan ikan.

“Susulan itu, bot berserta kru ditahan sebelum dibawa ke Jeti Maritim Malaysia Pos Teluk Gading dan diserahkan kepada kepada pegawai penyiasat untuk tindakan lanjut,” katanya dalam kenyataan.

Suhaizan berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 8 (b) Akta Perikanan 1985 dan Akta Imigresen 1959/63.

Pada masa sama, beliau mengingatkan semua komuniti maritim terutama pemilik bot nelayan tempatan agar mematuhi undang-undang dan tidak melanggar syarat lesen perikanan telah ditetapkan.

“Orang ramai boleh membuat aduan salah laku berkaitan jenayah maritim atau kecemasan di laut menerusi Pusat Operasi Maritim negeri di talian 07-219 9404 atau MERS 999,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.