
Monotosh, 41, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di depan Hakim Rasyihah Ghazali.
Mengikut kertas pertuduhan, tertuduh bersama seorang lagi individu mengheret seekor kucing dewasa yang diikat alat penjerut sambil menaiki sebuah motosikal sehingga menyebabkan kesakitan.
Kesalahan itu dilakukan di sebuah kawasan perumahan di Seksyen 31 Shah Alam antara 2 hingga 2.15 petang.
Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 29(1)(e) Akta Kebajikan Haiwan 2015 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 29(1) akta sama yang dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan.
Jika sabit kesalahan, dia boleh didenda tidak kurang RM20,000 dan tidak lebih RM100,000 atau dipenjarakan tidak lebih tiga tahun atau kedua-duanya.
Pegawai Pendakwa Jabatan Perkhidmatan Veterinar Mohd Sharif Sabran menawarkan jaminan RM20,000 dengan seorang penjamin dan menyerahkan pasport kepada mahkamah.
Peguam K Bagia Sri Devi yang mewakili tertuduh memohon jaminan dikurangkan kepada RM10,000 atas alasan anak guamnya hanya bergaji RM1,500 sebulan.
Beliau berkata tertuduh yang tiada ahli keluarga di Malaysia akan dijamin majikannya.
Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM13,000 dengan seorang penjamin warganegara serta pasportnya diserahkan kepada mahkamah.
Terdahulu, hakim membenarkan permohonan Sharif mengeluarkan waran tangkap terhadap seorang lagi warga asing yang sepatutnya dituduh bersama Monotosh, tetapi tidak hadir.
Sebutan semula kes ditetapkan 4 Nov ini.