Tak terhad 9 juta penerima, STR turut bantu rancak ekonomi setempat

Tak terhad 9 juta penerima, STR turut bantu rancak ekonomi setempat

Tahun ini, pentadbiran Anwar Ibrahim meningkatkan jumlah Sumbangan Tunai Rahmah (STR) sehingga RM3,700.

kedai runcit
Peniaga kecil antara kelompok mendapat manfaat menerusi peningkatan kuasa beli babit penerima Sumbangan Tunai Rahmah (STR).
PETALING JAYA:
Peningkatan Sumbangan Tunai Rahmah (STR) sehingga RM3,700 pada tahun ini yang membantu golongan B40 mempunyai lebihan berbelanja turut merancakkan ekonomi setempat, kata ahli ekonomi.

Ahmed Razman Abdul Latiff dari Putra Business School berkata penerima yang mempunyai kuasa membeli itu dapat menyokong operasi perniagaan di sekitar penempatan termasuk peniaga kecil.

“Keadaan ini bukan hanya membantu meningkatkan kualiti hidup isi rumah, namun pada masa sama tambah hasil peniaga dan pertumbuhan ekonomi setempat.

“Banyak pihak mendapat manfaat menerusi peningkatan bantuan STR,” katanya kepada FMT sambil mencadangkan jumlah sumbangan ditambah jika kerajaan mempunyai lebihan hasil pada Belanjawan 2025.

Perdana Menteri Anwar Ibrahim yang juga menteri kewangan ketika membentangkan Belanjawan 2024 mengumumkan kadar maksimum bantuan STR dinaikkan kepada RM3,700 berbanding RM3,100 sebelum ini.

Kadar minimum STR bagi golongan belia turut meningkat daripada RM350 kepada RM500.

Di bawah strategi mengurangkan kos sara hidup itu, kerajaan berbelanja RM10 bilion yang akan memanfaatkan 9 juta penerima.

Ahmad berkata penambahan penerima dan jumlah bantuan mungkin boleh dibuat menerusi penjimatan rasionalisasi subsidi diesel pada Jun lalu diikuti beberapa barangan lain pada masa depan.

“Tidak berikan subsidi pukal tetapi bantuan secara langsung kepada mereka yang layak,” katanya.

Seorang lagi ahli ekonomi Mohd Yusof Kasim pula berpendapat selain merancakkan ekonomi, STR juga boleh menjadi kunci mengeluarkan penerima dari garis kemiskinan yang turut berlaku di bandar.

“Dalam ekonomi ada elemen pertumbuhan dan agihan….paling penting agihan walaupun tidak seramai sebelum ini tetapi masih ada juga (orang miskin) termasuk di bandar kerana kos hidup tinggi,” katanya.

Yusof turut mencadangkan penetapan nilai bantuan perlu mengikut harga barangan di pasaran serta jumlah tanggungan penerima.

“Jadi kuasa beli itu sama atau bertambah, bukan berkurang,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.