Sayap Bersekutu Bersatu gesa tarik balik cadangan kurang subsidi pendidikan orang kaya

Sayap Bersekutu Bersatu gesa tarik balik cadangan kurang subsidi pendidikan orang kaya

Ketua Penerangannya, R Sri Sanjeevan berkata definisi 'kaya' yang tidak jelas membuka pintu kepada manipulasi, ketidakadilan dan diskriminasi.

R Sri Sanjeevan
Ketua Penerangan sayap Bersekutu Bersatu, R Sri Sanjeevan menyifatkan cadangan itu langkah populis yang mengorbankan masa depan rakyat demi keuntungan politik jangka pendek. (Gambar Facebook)
PETALING JAYA:
Sayap Bersekutu Bersatu menggesa kerajaan menarik balik cadangan mengurangkan subsidi pendidikan kepada anak golongan kaya serta-merta dan memohon maaf kepada rakyat.

Ketua Penerangannya, R Sri Sanjeevan menyifatkan cadangan itu langkah ke belakang dalam usaha membangunkan sistem pendidikan negara inklusif serta langkah populis yang mengorbankan masa depan rakyat demi keuntungan politik jangka pendek.

“Cadangan terbaru kerajaan ini bukan saja kesilapan dasar yang serius, tetapi juga ancaman terhadap masa depan Malaysia. Kenyataan ini bukan sekadar kritikan, tetapi seruan kepada semua rakyat Malaysia untuk mempertahankan asas demokrasi dan keadilan sosial negara kita.

“Cadangan ini juga berpotensi mengancam perpaduan dan daya saing rakyat. Sistem pendidikan awam yang kuat adalah asas kepada negara berdaya saing,” katanya dalam kenyataan.

Isnin lalu, Anwar Ibrahim dilaporkan menggesa subsidi kepada anak golongan paling kaya di sekolah terbaik dibiayai kerajaan dihentikan kerana ia perlu bersikap adil dalam mengagihkan bantuan dengan mengutamakan kumpulan memerlukan seperti golongan rentan.

Perdana menteri berkata, wujud keadaan tidak adil kini apabila ada anak penjawat awam kanan, pimpinan politik dan pengusaha terkenal dihantar ke sekolah terbaik dibiayai kerajaan.

Sanjeevan berkata, definisi “kaya” yang tidak jelas membuka pintu kepada manipulasi, ketidakadilan dan diskriminasi.

“Cadangan ini boleh membawa kepada implikasi antarabangsa lebih besar, malah boleh mencemarkan imej Malaysia di peringkat antarabangsa serta bercanggah komitmen kita terhadap Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu, khususnya SDG 4 yang menekankan pendidikan berkualiti untuk semua.”

Menurutnya, sistem pendidikan yang adil dan syumul merupakan “the great equalizer” bagi sesebuah masyarakat, dengan sejarah membuktikan negara yang berjaya sanggup melabur tanpa prejudis dalam pendidikan rakyat.

“Dengan menafikan sebahagian masyarakat akses kepada pendidikan berkualiti, kita bukan saja mengkhianati rakyat, tetapi juga menggagalkan potensi negara.”

Beliau sebaliknya menyarankan kerajaan melancarkan pelan komprehensif untuk kualiti pendidikan dan pendanaan inovatif pendidikan awam, melabur dalam inovasi pendidikan serta pembangunan guru, mengadakan dialog nasional dan menubuhkan Jawatankuasa Parlimen Khas untuk mengkaji serta menambah baik sistem pendidikan Malaysia.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.