Operasi cari Sabari masih tiada petunjuk

Operasi cari Sabari masih tiada petunjuk

Polis sebelum ini mengesahkan mangsa dicampak ke dalam Sungai Padang Terap dekat Jitra.

Usaha mengesan mangsa oleh pasukan mencari dan menyelamat (SAR) diteruskan hingga kira-kira 6 petang tadi. (Gambar Bernama)
JITRA:
Operasi hari ketiga pencarian pesara pegawai kewangan Felcra Sabari Baharom, 62, yang dicampak di Sungai Padang Terap belum menemukan sebarang petunjuk.

Berdasarkan pemerhatian Bernama di lokasi pencarian berhampiran Jambatan Kampung Lubuk Batu mendapati usaha mengesan mangsa oleh pasukan mencari dan menyelamat (SAR) diteruskan hingga kira-kira 6 petang tadi.

Operasi dalam radius 13km itu membabitkan pegawai dan anggota Angkatan Pertahanan Awam (APM), Pasukan Polis Marin, polis dan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM).

Sementara itu, isteri mangsa Subhiah Ruslina Shahibi, 57, yang berada di lokasi sejak pencarian bermula pagi tadi dilihat tenang ditemani saudara mara serta kenalan.

“Saya pun tak pasti operasi sampai bila. Polis cuma maklumkan, mereka akan hubungi saya nanti, mungkin mereka perlu mengadakan taklimat atau mesyuarat terlebih dahulu sebelum buat sebarang kesimpulan,” katanya sebelum meninggalkan lokasi pencarian.

Media sebelum ini melaporkan Sabari hilang sejak 4 Sept lalu dan kereta Proton Waja dinaikinya kemudian ditemukan hangus di Belantik, Sik.

Polis kemudian mengesahkan Sabari dicampak ke dalam Sungai Padang Terap dekat Jitra dalam keadaan tangan diikat dan mulut ditutup pita pelekat dan menahan dua suspek lelaki berusia 26 serta 38 tahun, Jumaat lalu.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.