Kerajaan digesa pertimbang biayai RCI pendidikan

Kerajaan digesa pertimbang biayai RCI pendidikan

Sharifah Munirah Alatas berkata, kerajaan perlu membiayai suruhanjaya siasatan diraja mengenai pendidikan jika ia serius untuk mengubah negara.

spm exam
Satu laporan pada 2022 meletakkan Malaysia antara lima negara teratas di dunia dengan kemerosotan terbesar dalam markah ujian membabitkan membaca, matematik dan sains. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Seorang ahli akademik menggesa kerajaan Perdana Menteri, Anwar Ibrahim membiayai suruhanjaya siasatan diraja (RCI) atau kajian bebas terhadap keadaan sistem pendidikan negara daripada prasekolah sehingga universiti.

Sharifah Munirah Alatas, pengerusi Pergerakan Tenaga Akademik Malaysia (Gerak), berkata kualiti pendidikan negara semakin merosot, walaupun kerajaan membelanjakan “berbilion”.

“Tanpa (RCI), kita akan terus tercari-cari kualiti sekolah dan universiti kita.

“Jika pentadbiran Anwar mahu diiktiraf pentadbiran yang mengubah negara kelak, ia perlu mempertimbangkan belanjawan untuk tubuh RCI secepat mungkin.”

Dalam Belanjawan 2023, kerajaan memperuntukkan RM55.2 bilion berbanding RM52.6 bilion pada 2022 serta RM50.4 bilion pada 2021.

Tetapi, laporan Program Penilaian Pelajar Antarabangsa 2022 mendedahkan Malaysia antara lima negara teratas di dunia dengan kemerosotan terbesar dalam markah ujian bagi ketiga-tiga mata pelajaran teras: membaca, matematik dan sains.

Munirah turut mencadangkan universiti, NGO dan pihak berkepentingan swasta berminat dalam pendidikan dibiayai untuk menjalankan kajian selari secara menyeluruh serta bebas.

“Semua kajian ini kemudiannya boleh dikumpul untuk menyediakan analisis pelan tindakan dan hala tuju bagi masa depan sektor pendidikan yang amat diperlukan kepada pentadbiran semasa.”

Beliau berkata, matlamat RCI dan kajian itu bagi menetapkan penambahbaikan serta alternatif kitaran pendidikan jangka pendek dan panjang.

Menurutnya, terdapat jurang antara pelan strategik hebat dan pelan tindakan dirangka Malaysia serta pelaksanaannya akibat campur tangan politik dan pendidikan dijadikan alat meraih undi.

“Kita perlu jelas tentang etika kita dan apa yang kita lakukan dengan peruntukan besar. Hanya selepas itu kita boleh lihat jurang dan membandingkan sistem pendidikan lain dengan kita.”

Setiausaha Agung Gerak, Rosli Mahat menyarankan kerajaan mengagihkan peruntukan yang ada dengan lebih adil merentasi semua sektor pendidikan, bukan hanya memfokuskan universiti awam.

Katanya, dana mesti disediakan kepada “orang yang mengajar dan membuat penyelidikan”, bukannya “bangunan atau universiti”.

Beliau menggesa geran penyelidikan disalur berdasarkan kualiti cadangan penyelidikan yang dikemukakan ahli akademik, bukan berdasarkan penerimanya daripada institusi penyelidikan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.