
Ketua Penerangan PAS, Ahmad Fadhli Shaari, berkata langkah itu penting untuk menilai perubahan sokongan pengundi, yang mungkin dipengaruhi oleh pelbagai perkembangan semasa.
“Tidak kira menang atau kalah, kajian sokongan hendaklah dilaksanakan secara konsisten kerana faktor sokongan sentiasa berubah mengikut situasi dan isu,” katanya kepada FMT.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas kebimbangan disuarakan Presiden Gerakan Dominic Lau mengenai pengaliran undi Melayu kepada BN pada dua PRK itu, menyaksikan sekutunya Bersatu tewas dengan majoriti besar.
Dominic yang juga timbalan pengerusi PN juga menggesa PN melakukan kajian dan penelitian trend pengundi Melayu khususnya kepada Umno, sebagai persediaan berdepan PRU akan datang.
Fadhli berkata, PAS menyambut baik cadangan tersebut sambil menegaskan semua parti komponen PN bertanggungjawab menarik sokongan tidak kira pengundi Melayu dan bukan Melayu.
“Semua parti dalam PN bertanggungjawab untuk menarik sokongan pengundi tidak kira Melayu atau tidak, yang penting rakyat Malaysia yang sah mengundi,” katanya yang juga Ahli Parlimen Pasir Mas.
Turut senada, Ketua Pemuda Bersatu, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal yang berkata, cadangan presiden Gerakan itu berasas kerana undi Melayu tidak secara automatik milik PN.
Jelasnya, meskipun keputusan PRK Mahkota sudah dijangka kerana ia kubu kuat Umno, Ahli Parlimen Machang itu berkata, PN masih perlu ‘bermuhasabah diri’ dengan meneliti segala kelemahan.
“Beri masa kepada PAS dan Bersatu untuk menyelaraskan semula kepimpinan, saya yakin dalam masa setahun kedua-dua parti besar ini akan menatijahkan strategi baru untuk kembali ke tengah dan kita bawa naratif yang membangunkan negara,” katanya.
Sementara itu, ditanya berhubung peranan Gerakan dalam menarik pengundi bukan Melayu, beliau berpandangan bahawa tanggungjawab tersebut tidak seharusnya diletakkan di bahu parti itu semata-mata.
“Tak semestinya Gerakan sahaja. Bersatu ada sayap bersekutu, PAS ada nak buka keahlian pada bukan Islam dan bukan Melayu. Jadi ini semua satu kata-kata dan strategi yang dibuktikan dengan tindakan untuk terus memenangi hati pengundi,” katanya.