
Bercakap kepada pemberita di sesi libat urus RMK13 bersama kerajaan Selangor di Shah Alam, Rafizi berkata pihaknya berharap usaha tersebut dapat ‘diganding secara bersama’.
“Kita harap usaha untuk merapatkan jurang sosioekonomi dan pembangunan mengikut negeri serta wilayah dapat diganding secara bersama kerana selalunya beban memajukan ekonomi digalaskan sepenuhnya kepada kerajaan persekutuan atas alasan peruntukan itu mesti datang daripada persekutuan,” menurut Bernama.
Rancangan Malaysia merupakan rancangan jangka sederhana yang dibentuk untuk meletakkan segala pelaksanaan pembangunan dan pertumbuhan ekonomi negara berada pada landasan yang tepat bagi menyokong perancangan jangka panjang Malaysia.
Sesi tadi mengumpul idea dan pandangan berhubung rancangan pembangunan lima tahun negara, dan dibahagikan kepada tiga kumpulan iaitu kerajaan negeri, penggiat ekonomi serta wakil industri, dan orang awam.
Rafizi memaklumkan libat urus akan diteruskan sehingga lengkap semua 14 negeri.
“Kita harap menjelang akhir tahun ini rangka kasar yang menggariskan keputusan atau cita-cita besar negara dapat dibentangkan kepada Perdana Menteri Anwar Ibrahim,” katanya.
Menurut Rafizi, dokumen RMK13 dijadual dibentangkan di Parlimen pada Julai 2025.