RM8 juta tampung kos bina pusat dialisis Yayasan Sultan Kelantan

RM8 juta tampung kos bina pusat dialisis Yayasan Sultan Kelantan

Kerajaan persekutuan menyalurkan peruntukan itu melalui Jabatan Kerja Raya Kelantan, menurut perdana menteri.

Perdana Menteri Anwar Ibrahim bersama para peniaga di Pasar Besar Siti Khadijah, Kota Bharu, Kelantan, pada sesi ramah mesra hari ini. (Gambar Bernama)
KOTA BHARU:
Kerajaan memperuntukkan RM8 juta bagi menampung kos projek membina dan menyiapkan sebuah pusat dialisis Yayasan Sultan Kelantan Darul Naim.

Perdana Menteri Anwar Ibrahim berkata, peruntukan itu disalurkan melalui Jabatan Kerja Raya Kelantan.

Perkara itu juga telah dipersembah kepada Sultan Kelantan Sultan Muhammad V semasa sesi menghadap baginda di Istana Negeri, Kubang Kerian, hari ini, tambahnya

“Semoga dengan kelulusan ini dapat membantu dalam penyediaan infrastruktur yang kondusif dan selamat untuk kegunaan rakyat yang memerlukan di Kelantan,” katanya pada majlis ramah mesra bersama para peniaga di Pasar Besar Siti Khadijah.

Turut hadir, Dr Wan Azizah Wan Ismail serta Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam Nik Nazmi Nik Ahmad.

Anwar juga meminta rakyat Kelantan agar mengurangkan pengambilan gula dalam makanan dan minuman.

“Saya minta ia dikurangkan kerana sudah menjadi masalah yang besar terutama di Kelantan, Kedah dan Negeri Sembilan, yang bersaing siapa dapat penyakit lagi banyak,” katanya.

“Kalau di Kelantan, tiada gula, tidak boleh. Satu Malaysia tidak ada yang makan roti canai dengan gula, tetapi di Kelantan sebaliknya. Saya juga difahamkan mengenai pusat dialisis di Kelantan ini mempunyai rekod kencing manis yang tinggi kerana gula lebih.”

Beliau berkata, Malaysia antara negara paling banyak penghidap diabetes di Asia, dan perkara itu bukan sesuatu yang patut dibanggakan.

“Jadi saya harap di pasar ini (Pasar Besar Siti Khadijah), kalau menjual kuih, tolong kurangkan gula,” katanya.

“Kita bukan menang Oscar tetapi menang penyakit diabetes. Saya harap kita mulakan di sini (kurangkan pengambilan gula) sebab di Jabatan Perdana Menteri, Pejabat Perdana Menteri, makan minum semua turun gula, tinggal 20% sahaja atau tidak ada gula langsung.”

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.