
Ketua Umum Pengurus Besar MABMI, OK Saidin SH berkata pihaknya menyampaikan hasrat itu kepada bekas perdana menteri Ismail Sabri yang merupakan pengasas dan penaung SAABM dalam pertemuan di Kuala Lumpur, malam tadi.
“MABMI memandang tinggi usaha yang digerakkan oleh Ismail sewaktu pentadbiran kerajaan keluarga Malaysia sehingga hari ini. Kami melihat beliau sebagai seorang pejuang Bahasa Melayu.
“Banyak usaha yang dilaksanakan oleh beliau, seperti penggunaan Bahasa Melayu sewaktu berucap di Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu pada 2022. Ia satu sejarah yang membanggakan buat orang Melayu,” katanya.
Malam tadi, Saidin yang mengetuai delegasi MABMI melakukan kunjungan hormat ke atas Ismail bagi menyatakan hasrat dan jemputan mereka itu.
MABMI adalah sebuah lembaga sosio budaya tempat berhimpunnya masyarakat Melayu Indonesia, yang bermatlamat memelihara dan mengembangkan adat serta kebudayaan Melayu bagi masyarakat pendukungnya.
Dalam pertemuan itu, Ismail turut menghargai usaha MABMI yang ditubuhkan sejak 1971 di Sumatera Utara bagi memartabatkan budaya dan Bahasa Melayu.
Ismail berkata, MABMI memainkan peranan yang sangat penting dalam melestarikan budaya Melayu terutama di Medan, Indonesia.
“Usaha mereka ini tidak tertumpu kepada memperkasa budaya Melayu sahaja, malah merentasi aspek ekonomi dan pendidikan,” katanya.
Ismail turut berkongsi aspirasi yang sama dengan MABMI seperti usaha pemerkasaan Bahasa Melayu yang kian terpinggir dalam masyarakat hari ini.