Lelaki dituduh pandu lori bawah pengaruh dadah, sebabkan kematian

Lelaki dituduh pandu lori bawah pengaruh dadah, sebabkan kematian

Tertuduh didapati memandu lori bawah pengaruh dadah sehingga menyebabkan kematian mangsa pada 27 Sept.

Jimhar Albasar dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Seremban atas pertuduhan memandu bawah pengaruh dadah sehingga menyebabkan kematian seorang wanita. (Gambar Bernama)
SEREMBAN:
Seorang pemandu lori mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen atas pertuduhan memandu bawah pengaruh dadah sehingga menyebabkan kematian seorang wanita, Jumaat lalu.

Jimhar Albasar, 30, didapati memandu lori jenis Nissan bawah pengaruh dadah berbahaya jenis metamfetamina sehingga menyebabkan kematian Mutia Sharinia Erpie Mustapa, 31, di Jalan Persiaran Negeri, Nilai pada 4.15 petang, 27 Sept lalu.

Dia didakwa mengikut Seksyen 44(1)(a) Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Pindaan 2020) dan boleh dihukum di bawah akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara antara 10 hingga 15 tahun dan denda antara RM50,000 hingga RM100,000 serta hilang kelayakan memandu tidak kurang 10 tahun dari tarikh sabitan, jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya Noor Syafina Mohd Radzuan tidak menawarkan jaminan memandangkan kesalahan itu adalah serius yang melibatkan enam kenderaan dan satu kematian.

Peguam A Partheeban yang mewakili tertuduh memohon mahkamah membenarkan jaminan atas alasan anak guamnya perlu menanggung dua anak dan isteri yang kini mengandung tujuh bulan.

“Dia akan dijamin bapanya berusia 56 tahun yang hanya bekerja kampung dengan pendapatan RM2,000 sebulan selain turut menanggung tiga anak serta isteri. Bapanya akan memastikan kehadiran tertuduh di mahkamah,” katanya.

Hakim Meor Sulaiman Ahmad Tarmizi membenarkan tertuduh diikat jamin RM10,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 25 Nov ini untuk sebutan semula.

Sementara itu, Jimhar turut mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret atas pertuduhan memasukkan dadah jenis sama ke dalam dirinya di IPD Nilai pada 11.55 malam, tarikh sama.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum di bawah seksyen dan akta sama, yang jika disabitkan kesalahan boleh didenda maksimum RM5,000 atau penjara maksimum dua tahun.

Majistret Nurul Saqinah Rosli membenarkan jaminan RM2,500 dengan seorang penjamin dan menetapkan 25 Nov ini untuk sebutan semula.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Norshafatihah Nor Azmi dan tertuduh diwakili peguam sama.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.