Hari Terbuka MITI sedia lebih 2,600 peluang kerja

Hari Terbuka MITI sedia lebih 2,600 peluang kerja

Program esok turut menawarkan pelbagai insentif khusus untuk belia, wanita serta PMKS bagi meningkatkan potensi sedia ada.

MITI Day 2024 akan diadakan di Menara MITI, Kuala Lumpur, esok.
PETALING JAYA:
Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) akan menganjurkan hari terbukanya atau MITI Day 2024 esok yang menawarkan pelbagai insentif khusus untuk belia, wanita serta pengusaha perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS).

Kementerian itu memaklumkan program di Menara MITI, Kuala Lumpur berkenaan boleh menjadi platform penting kumpulan terbabit untuk berinteraksi dengan agensi kerajaan serta pemain industri khusus memanfaatkan inisiatif sedia ada.

Menurutnya, acara tahunan itu juga menyediakan lebih 2,600 peluang pekerjaan untuk belia disediakan 22 syarikat tempatan dan antarabangsa.

Program eksplorasi kerjaya membabitkan 22 syarikat tempatan dan antarabangsa.

Selain eksplorasi kerjaya, program lain antaranya pameran Program Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) dan taklimat perniagaan.

Sementara itu, Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Zafrul Aziz berkata MITI berbesar hati dapat menganjurkan program terbabit yang diadakan untuk mendekati masyarakat.

Menurutnya, program terbabit bukan sekadar hari terbuka namun komitmen kerajaan dalam memperkasa ekonomi rakyat dan menyokong transformasi industri negara untuk kesejahteraan bersama.

“Kita mahu memastikan inisiatif-inisiatif MITI memanfaatkan semua lapisan industri- dari syarikat pelbagai saiz, hinggalah kepada golongan usahawan.

“Khusus bagi belia dan pencari kerja, mesej penting yang hendak disampaikan adalah mengenai prospek kerjaya yang baik di dalam sektor industri pembuatan dan perkhidmatan,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.