
LHDN turut menegaskan tiada sebarang layanan istimewa diberikan kepada GISBH dalam proses penyelesaian ini.
“Kompaun dan penalti cukai dikenakan telah dibayar oleh pembayar cukai tersebut,” katanya dalam kenyataan.
LHDN berkata, kenyataan ketua polis negara yang ‘GISBH tidak pernah membayar cukai berkaitan’ merujuk kepada tahun taksiran terkini, bukan tahun taksiran telah diaudit.
Katanya, bagi tahun taksiran yang diaudit, syarikat dan individu yang berkaitan dengan GISBH sudah dikenakan kompaun.
“Tindakan pendakwaan dan penalti bawah Akta Cukai Pendapatan (ACP) 1967 akan diambil terhadap mana-mana pelanggaran peruntukan undang-undang yang berkaitan.
“Justeru, usaha membanteras ketidakpatuhan cukai akan terus dilakukan oleh LHDN agar dapat memberikan keadilan kepada semua pembayar cukai yang patuh sekali gus mengelakkan ketirisan hasil negara.”
Katanya, kerjasama LHDN dengan polis bertujuan untuk melengkapkan siasatan berdasarkan kepada maklumat dan penemuan baharu yang ada kaitan dengan isu percukaian bagi tahun taksiran terkini.
Menurutnya, lebih 60 semakan audit dijalankan oleh LHDN terhadap GISBH, syarikat serta individu berkaitan dengannya bagi tahun taksiran terdahulu.
“Pemantauan terhadap pematuhan cukai GISBH, syarikat serta individu berkaitan juga dijalankan secara berterusan seperti mana pembayar cukai lain,” katanya.