
Hakim Norina Zainol Abidin menetapkan perbicaraan berlangsung selama 11 hari bermula 6 hingga 9 Jan dan disambung 14 hingga 16 Jan dan 20 hingga 23 Jan, lapor Berita Harian.
Timbalan Pendakwa Raya, Mohamad Mustaffa P Kunyalam dan Rullizah Abdul Majid memberitahu mahkamah pihak pendakwaan akan mengemukakan 30 saksi.
Mustafa juga memberitahu mahkamah pihak pendakwaan dalam proses menyiapkan dan akan menyediakan semua kenyataan saksi itu.
Mei lalu, mahkamah menetapkan 30 Sept hingga 11 Okt ini sebagai tarikh perbicaraan tetapi pihak pendakwaan memohon tarikh baharu.
Shalom, 38, didakwa atas dua pertuduhan pindaan memperdagang enam pucuk pistol pelbagai jenis dan memiliki 200 peluru di sebuah hotel di ibu negara, Mac lalu.
Bagi pertuduhan pindaan pertama, dia didakwa memperdagang enam jenis pistol antara 6.46 petang, 26 Mac dan 6 petang, 28 Mac lalu di Hotel Four Seasons, Jalan Ampang, di sini.
Enam pistol berkenaan ialah Glock 19 USA 9x 19 (sebelum ini 9x 10), Sig Sauer P3205P, Cougar 8000FT, Glock 17 Gen4 Austria 9×19, M&P (sebelum ini N&P), 9C Smith & Wesson Springfield MA USA dan Stoeger Cougar 8000F (pindaan pada nombor siri).
Dia dituduh mengikut Seksyen 7(1) Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971 yang memperuntuk hukuman penjara minimum 30 tahun tetapi tidak melebihi 40 tahun dan sebat tidak kurang enam kali.
Pertuduhan pindaan kedua membabitkan pertambahan bilangan peluru, pada masa, tarikh dan tempat sama.
Shalom didakwa memiliki satu kotak Shell Shock NAS3 9mm mengandungi lapan butir peluru, tiga kotak Bullet Master Co Ltd yang masing-masing mengandungi 50 butir peluru, 16 butir peluru yang berada di dalam senjata api Glock 17, 11 butir peluru yang berada di dalam senjata api, M&P 9C Smith & Wesson dan 15 butir peluru dalam senjata api, Stoeger Cougar 8000F.
Pertuduhan itu mengikut Seksyen 8(a) Akta Senjata 1960 yang memperuntuk hukuman penjara tidak melebihi tujuh tahun atau denda tidak melebihi RM10,000 atau kedua-duanya.