
Katanya, PRK DUN Mahkota pada Sabtu menunjukkan tiada satu pun parti tunggal dalam gabungan kerajaan perpaduan boleh mendakwa menjadi tunjang utama dalam pakatan berkenaan.
“PH kena sedar dan mungkin kena minta maaf kepada Umno atas segala tohmahan, tuduhan dan persepsi yang telah mereka cipta sejak berpuluh tahun lalu hingga menyebabkan Umno dipandang kotor oleh pengundi,” katanya dalam analisis pilihan raya itu.
Katanya, kemenangan PRK itu isyarat bahawa orang Melayu kembali percaya dan yakin terhadap perjuangan Umno.
“Pengundi Melayu pun bukan bodoh. Mereka boleh nampak hipokrasi kalau PH terus nak buat-buat tak nampak jasa Umno dalam kerajaan perpaduan. Hari ini, suka atau tidak, PH amat memerlukan Umno,” katanya.
“Tanpa undi Melayu yang dibawa Umno, PH boleh lupakan harapan untuk kekal berkuasa.
“Jadi, kalau betul PH nak pastikan kerajaan perpaduan ini boleh bertahan hingga PRU16, inilah masanya untuk ubah pendekatan. Sebab hari ini, PH nampaknya amat memerlukan sokongan Umno untuk terus jadi kerajaan.”
Selama lebih dua dekad, rakan parti dalam PH iaitu PKR, DAP dan Amanah menjadi musuh Barisan Nasional yang terdiri Umno, MCA dan MIC.
Dua seteru itu bergabung selepas PRU 2022 untuk membentuk kerajaan persekutuan campuran bersama parti dari Sabah dan Sarawak.
PH yang mempunyai 81 kerusi di Dewan Rakyat, memiliki paling banyak daripada 153 kerusi dikawal gabungan ini, diikuti BN (30), GPS (23), GRS (6), dan parti kecil serta ahli bebas (13).
Nur Jazlan berkata, permohonan maaf terbuka kepada Umno oleh PH bukan saja akan membaiki hubungan antara dua parti itu, malah menunjukkan kepada rakyat bahawa politik hari ini sudah berubah.
“Politik bukan lagi tentang perpecahan, tapi tentang kesatuan demi kestabilan negara. Kalau PH nak pastikan sokongan Umno kekal, mereka perlu perbetulkan persepsi yang mereka bina selama bertahun-tahun,” katanya.
Pada PRK Mahkota, BN mempertaruhkan calon Umno Syed Hussien Syed Abdullah, yang menang dengan majoriti 20,648 undi menewaskan pencabar Haizan Jaafar daripada Perikatan Nasional.
Nur Jazlan turut mengucapkan terima kasih kepada Ahli Parlimen Kluang Wong Shu Qi daripada DAP, dan bekas exco Johor Jimmy Low daripada MCA atas peranan mereka menarik pengundi Cina di Kluang menyokong calon Umno itu.
Katanya, PRK Mahkota ‘menterjemahkan sepenuhnya maksud kerajaan perpaduan’, apabila semua parti komponen PH serta BN ‘menarik pengundi dengan kepakaran masing-masing’.