
Malaysia kini berada pada kedudukan ke-33 daripada 133 negara dalam laporan dikeluarkan baru-baru ini.
Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Chang Lih Kang, berkata laporan menunjukkan walaupun prestasi baik Malaysia didorong sektor seperti pembuatan berteknologi tinggi dan eksport namun wujud cabaran dari segi pembiayaan dalam sektor awam dan swasta termasuk dalam pembangunan infrastruktur.
“Untuk Malaysia mencapai prestasi pada kedudukan 30 terbaik dunia, ekosistem dan pelaburan negara berinovasi perlu diterjemahkan kepada hasil lebih baik bagi menyokong asas kemajuan negara untuk mencapai matlamat Ekonomi Madani.
“Isu dan cabaran berkaitan inovasi perlu ditangani, salah satunya adalah mengenai pelaburan sektor awam dan swasta yang masih rendah dalam bidang R&D berbanding dengan beberapa negara
maju yang lain,” katanya pada sidang media.
Chang berkata, susulan itu keluaran dalam negeri kasar (KDNK) negara perlu selari kadar pelaburan perbelanjaan kasar untuk penyelidikan dan pembangunan (GERD) baik di sektor swasta atau kerajaan.
“Data menunjukkan, sekiranya sasaran GERD negara kekal pada kadar 3.5% menjelang tahun 2030, kerajaan perlu bersedia untuk melabur sejumlah RM26 bilion setahun bagi menyokong aktiviti berkaitan R&D selain pelaburan sektor swasta dalam bidang R&D sebanyak RM60 bilion,” katanya.
Minggu lalu, pengumuman GII 2024 menunjukkan Malaysia menduduki tangga ke-33 daripada 133 negara dengan skor keseluruhan 40.5, meningkat ketara selepas tiga tahun berturut-turut menduduki tempat ke-36.
Dalam laporan sama, Malaysia terus kekal di tangga kedua sebagai negara paling berinovasi selepas China dalam kalangan 36 negara berpendapatan sederhana tinggi. Bagi negara Asean, Malaysia juga mengekalkan kedudukan di tempat kedua selepas Singapura.
Malaysia berjaya mengekalkan kedudukan pertama dalam tiga sub-indikator iaitu Graduates in Science and Engineering, High-Tech Exports, dan Creative Goods Exports.