Bantuan kerajaan guna pakai konsep pendapatan boleh guna bersih, kata Anwar

Bantuan kerajaan guna pakai konsep pendapatan boleh guna bersih, kata Anwar

Perdana menteri berkata kerajaan ambil kira kos makanan, pakaian, tempat tinggal, utiliti, lokasi, dan demografi isi rumah.

anwar
Anwar Ibrahim berkata, kerajaan sasar pengunaan Padu sebagai asas penentuan kelayakan dan pemberian bantuan pada 2025. (Gambar Bernama)
PUTRAJAYA:
Kerajaan akan beralih kepada pengukuran kemiskinan lebih bermakna berdasarkan konsep pendapatan boleh guna bersih (NDI) sebagai asas mengenal pasti kumpulan sasar untuk pemberian bantuan, kata Anwar Ibrahim.

Perdana menteri berkata, konsep NDI akan mengurangkan ralat keciciran di samping bersifat lebih adil, dan ia akan mengambil kira perbelanjaan asas kehidupan wajar (PAKW) yang merujuk kepada kos keperluan hidup untuk menjalani kehidupan bermaruah dan bermakna.

“…meliputi kos makanan, pakaian, tempat tinggal, utiliti, dan pengangkutan, yang berbeza mengikut lokasi dan demografi isi rumah,” katanya ketika berucap pada Simposium Kebangsaan 2024: Menoktah Kemiskinan.

Simposium bertemakan “Bersama, Berdaya dan Mampan” itu menggariskan lima ikhtiar iaitu memantapkan pengukuran, mereformasi dana menoktah kemiskinan, menyatupadukan data, merubah sikap dan pemikiran, serta memperkukuh tenggang menoktah kemiskinan.

Anwar yang juga menteri kewangan turut memberi jaminan Jemaah Menteri akan memberi perhatian serius terhadap dapatan dan input dikumpulkan dalam simposium berkenaan.

Perdana menteri berkata, beliau mahu Menteri Ekonomi Rafizi Ramli supaya mengumpul dan merumuskan segala idea dan pandangan dikongsi, dan diberikan kepada barisan panel dan peserta yang menghadiri simposium itu.

“Saya boleh beri jaminan kalau ini (rumusan daripada simposium) disiapkan, Jemaah Menteri akan mengambil kira pandangan ini dengan cara yang paling serius.

“Kalau sempat hari Rabu, Rafizi boleh rumuskan peringkat awal notanya, supaya kita boleh ambil perhatian serius dan menjadikan ini soal keutamaan yang disebut fiqh aulawiyat (fiqh keutamaan),” katanya.

Bagi ikhtiar kedua, Mereformasi Dana Menoktah Kemiskinan, Anwar berkata kerajaan komited untuk meneruskan reformasi fiskal sebagai sebahagian daripada langkah menstruktur semula ekonomi ke arah kemampanan.

Beliau berkata, ia termasuk merombak struktur subsidi menyeluruh kepada subsidi dan bantuan yang lebih bersasar, termasuk bantuan sosial dan program kemiskinan.

Perdana Menteri berkata kebergantungan kepada dana daripada kerajaan semata-mata boleh menjejaskan kemampanan program kemiskinan dan mengakibatkan tekanan fiskal kepada kerajaan.

“Oleh itu kerajaan menggalakkan sumbangan dana daripada pelbagai pihak melalui penglibatan syarikat berkaitan kerajaan (GLC), syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC), sektor swasta dan sektor ketiga dalam inisiatif pembiayaan bersama untuk menyokong penyelesaian berasaskan komuniti,” katanya.

Data Padu diguna pada 2025

Bagi ikhtiar ketiga yang merujuk kepada menyatupadukan data, ia adalah usaha berterusan yang akan sentiasa diambil oleh kerajaan dalam memastikan pangkalan data tersebut sentiasa kekal berintegriti.

“Sumber-sumber data ini kemudian akan turut diintegrasi kepada pangkalan data utama (Padu) yang saya luncurkan pada awal Januari lepas supaya hasrat kerajaan untuk membangunkan repositori data rujukan tunggal kerajaan dalam pelaksanaan program menoktah kemiskinan serta pelbagai program sosioekonomi dapat direalisasikan.

“Oleh itu pada 2025, kerajaan menyasarkan pengunaan Padu sebagai asas dalam penentuan kelayakan dan pemberian bantuan, sekali gus menyokong inisiatif membuat keputusan berasaskan data,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.