SPRM berjumpa Maszlee Malik berkait isu 1BestariNet

SPRM berjumpa Maszlee Malik berkait isu 1BestariNet

Ketua Pesuruhjaya SPRM Azam Baki mengesahkan perkara itu namun enggan mengulas lanjut kerana kes masih dalam siasatan.

Bekas menteri pendidikan Maszlee Malik sebelum ini dilaporkan berkata isu membabitkan 1BestariNet menjadi antara faktor peletakan jawatan beliau pada Januari 2020. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sudah bertemu dengan bekas menteri pendidikan, Maszlee Malik berhubung isu 1BestariNet.

Harian Metro yang memetik sumber, berkata pertemuan itu dilakukan pegawai penyiasat kes terbabit, minggu lalu.

“Pegawai penyiasat sudah berjumpa dengan Maszlee untuk mendapatkan maklumat lanjut mengenai isu ini (1BestariNet).

“Siasatan kes ini masih dijalankan termasuk tindakan SPRM mendapatkan dokumen berkaitan dan keterangan beberapa individu,” katanya.

Ketua Pesuruhjaya SPRM Azam Baki yang dihubungi mengesahkan perkara itu namun enggan mengulas lanjut kerana kes masih dalam siasatan.

Pada awal bulan ini, SPRM memulakan siasatan ke atas tuntutan bayaran bagi tender perkhidmatan 1BestariNet Kementerian Pelajaran Malaysia bernilai RM4 bilion yang dianugerahkan kepada YTL Communications Sdn Bhd pada 2011.

Menurut sumber, siasatan menjurus kepada mengemukakan dokumen tuntutan yang mengandungi butir matan palsu melibatkan pembayaran lebih kurang RM2.7 bilion.

Fokus siasatan SPRM juga menjurus kepada elemen jenayah lain yang tertakluk di bawah Akta SPRM, tambahnya.

Pada 6 September lalu, Maszlee dilaporkan berkata isu membabitkan 1BestariNet menjadi antara faktor peletakan jawatan beliau sebagai menteri pendidikan pada Januari 2020.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.