Reman pengendali aliran tunai GISBH disambung 5 hari

Reman pengendali aliran tunai GISBH disambung 5 hari

Peguam berkata, siasatan terhadap anak guamnya dijalankan mengikut Seksyen 31(a) Akta Kanak-kanak 2001 serta Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2022.

Gavel
Perintah lanjutan reman lima hari ke atas dua individu termasuk seorang yang disyaki pengendali aliran tunai GISBH dikeluarkan Timbalan Pendaftar Mahkamah Majistret Shah Alam, Nurshahira Abdul Salim. (Gambar Pexelpic)
SHAH ALAM:
Mahkamah Majistret di sini membenarkan tempoh reman dua individu, termasuk seorang dipercayai berperanan pengendali aliran tunai Global Ikhwan Services and Business Holdings (GISBH) yang tamat hari ini dilanjutkan.

Perintah lanjutan reman lima hari bermula hari ini ke atas kedua-duanya yang dalam lingkungan 50-an itu dikeluarkan Timbalan Pendaftar, Nurshahira Abdul Salim.

Peguam Rosli Kamaruddin yang mewakili dua individu itu berkata, siasatan terhadap anak guamnya dijalankan mengikut Seksyen 31(a) Akta Kanak-kanak 2001 serta Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2022.

Sebelum ini, kedua-duanya yang dikaitkan dengan GISBH direman tujuh hari pada 23 Sept lalu.

Jumaat lalu, Ketua Polis Negara, Razarudin Husain mengesahkan seorang individu dipercayai pengendali aliran tunai GISBH ditahan menerusi Op Global fasa 4 di Butterworth, Pulau Pinang pada 23 Sept lalu.

Sementara itu, mahkamah sama turut membenarkan permohonan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) untuk menempatkan 15 kanak-kanak yang juga anak kepada seorang pemimpin kanan GISBH di rumah perlindungan.

Sembilan kanak-kanak lelaki dan enam perempuan berusia tiga hingga 16 tahun itu akan ditempatkan di rumah perlindungan JKM di Johor serta Kuala Lumpur.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.