Persefahaman Umno-DAP kunci kerajaan perpaduan, kata Puad

Persefahaman Umno-DAP kunci kerajaan perpaduan, kata Puad

Ahli Majlis Kerja Tertinggi Umno Puad Zarkashi berkata PRK itu telah membimbing kerjasama BN-PH ke arah lebih serius.

puad
Puad Zarkashi berkata perbezaan pendapat antara Umno dan DAP seperti dalam isu halal tidak menjejaskan kemenangan BN pada PRK Mahkota apabila pemimpin bersikap terbuka dan matang.
PETALING JAYA:
Kemenangan besar Barisan Nasional (BN) pada PRK Mahkota dengan majoriti lebih 20,000 undi akan memantapkan dan mematangkan lagi kerjasama BN-Pakatan Harapan (PH), kata Puad Zarkashi.

Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno itu berkata PRK Mahkota membimbing kerjasama BN-PH ke arah lebih serius.

“Slogan ‘No DAP’ tidak lagi laku. Sebaliknya, ia alasan syok sendiri bagi mereka yang mahu melompat parti atau tidak ada masa depan dalam Umno.

“Persefahaman Umno-DAP kunci utama kelangsungan kerajaan perpaduan. Mahkota adalah formula terbaik. Perbezaan pendapat seperti dalam isu halal tidak menjejaskan kemenangan. Tidak ada boikot. DAP jelas komited berkempen.

“Lebih baik persefahaman BN-DAP berlangsung bukan kerana hipokrasi. Tidak salah berbeza pandangan, tapi ‘wisdom’ menyelesaikannya. Sikap terbuka pemimpin generasi baharu DAP dan kematangan pemimpin Umno buka landskap baharu politik negara,” katanya dalam catatan Facebook.

Semalam, BN mempertahankan DUN Mahkota dengan majoriti 20,648 undi, empat kali ganda lebih besar berbanding 5,166 undi diraih pada PRN 2022.

Calon BN Syed Hussien Syed Abdullah mendapat 27,995 undi, manakala Haizan Jaafar daripada Perikatan Nasional hanya memperoleh 7,347 undi.

Sharifah Azizah Syed Zain daripada BN menewaskan calon PH, PN dan Warisan dengan majoriti 5,166 undi pada PRN Mac 2022.

Selain itu, Puad turut mempersoalkan sama ada keputusan PRK itu akan menyebabkan wujudnya pemberontakan dalam pembangkang seperti ketika Bersatu tewas di Tanjung Piai.

“Kita tunggu jika Azmin (Ali) akan melakukan langkah Sheraton 2.0. Kali ini DAP bukan lagi alasan. Mesti ada ‘kambing hitam’ baharu,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.