Anwar dahului senarai penerima darjah kebesaran Kelantan

Anwar dahului senarai penerima darjah kebesaran Kelantan

Pengurniaan darjah kebesaran kepada perdana menteri itu bersempena sambutan Hari Keputeraan Sultan Kelantan Sultan Muhammad yang Ke-55 hari ini.

Perdana Menteri Anwar mengetuai senarai 763 penerima darjah pada Istiadat Pengurniaan Kehormatan Kebesaran Kelantan di Istana Balai Besar hari ini. (Gambar Bernama)
KOTA BHARU:
Perdana Menteri Anwar Ibrahim mengetuai senarai 763 penerima darjah pada Istiadat Pengurniaan Kehormatan Kebesaran Negeri sempena ulang tahun Hari Keputeraan Sultan Kelantan Sultan Muhammad V yang Ke-55 hari ini.

Anwar dianugerahkan Ahli Yang Kehormat Yang Pertama (Seri Paduka) bagi Darjah Kebesaran Mahkota Kelantan Yang Amat Mulia (SPMK) yang membawa gelaran Datuk.

Seratus individu menerima anugerah masing-masing daripada Sultan Muhammad V di Istana Balai Besar di sini hari ini, dengan 35 daripadanya menerima gelaran Datuk.

Mendahului penerima di Istana Balai Besar hari ini ialah Pengerusi Eksekutif Kumpulan Apex Equity Holdings Berhad Farhash Wafa Salvador dan Ketua Pegawai Eksekutif Muhibbah Security Sdn Bhd Mohd Khidir Yaacob yang dianugerahkan Ahli Yang Kehormat Yang Pertama (Seri Paduka) bagi Darjah Kebesaran Jiwa Mahkota Kelantan Yang Amat Mulia (SJMK) yang membawa gelaran Datuk.

Ia disusuli dengan Ketua Pengarah Perkhidmatan Kesihatan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) Zulkeffeli Mat Jusoh yang dianugerahkan Ahli Yang Pertama (Seri Paduka) bagi Darjah Kebesaran Kesateria Mahkota Kelantan Yang Amat Perkasa (SPKK) yang membawa gelaran Datuk

Pegawai Kewangan Negeri Pejabat Perbendaharaan Negeri Kelantan Tengku Kaya Perkasa Tengku Mohamed Faziharudean Tengku Feissal, Profesor Jabatan Al-Quran dan Al-hadith Universiti Malaya Mohd Yakub @ Zulkifli Mohd Yusoff dan Pengarah Tanah dan Galian Kelantan Rosnazli Amin pula masing-masing dianugerahkan Ahli Yang Pertama (Seri Paduka) bagi Darjah Kebesaran Setia Mahkota Kelantan Yang Amat Terbilang (SPSK) yang turut membawa gelaran Datuk.

Dua individu pula menerima anugerah Ahli Yang Pertama (Seri Paduka) bagi Darjah Kebesaran Jasa Mahkota Kelantan Yang Amat Setia (SPJK) iaitu Komisioner Jeneral Penjara Nordin Muhamad dan mantan Ketua Polis Kelantan Muhamad Zaki Harun yang membawa gelaran Datuk.

Penerima tunggal bagi anugerah Ahli Yang Kehormat Yang Pertama (Seri Paduka) bagi Darjah Kebesaran Jasa Mahkota Kelantan Yang Amat Setia (SPJK) yang turut membawa gelaran Datuk ialah Ketua Polis Negara Razarudin Husain.

Sementara itu Duta Besar dan Wakil Tetap Malaysia ke Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) New York Ahmad Faisal Muhamad, Ketua Pengarah Jabatan Pengairan dan Saliran Ahmad Anuar Othman dan Ketua Setiausaha Perbendaharaan Johan Mahmood @ Johan Mahmood Merican pula dianugerahkan Ahli Yang Kedua (Dato Paduka) bagi Darjah Kebesaran Mahkota Kelantan Yang Amat Mulia (DPMK) yang membawa gelaran Datuk.

Lima individu dianugerahkan Ahli Yang Kedua (Dato Paduka) bagi Darjah Kebesaran Jiwa Mahkota Kelantan Yang Amat Mulia (DJMK) yang turut membawa gelaran Datuk ialah Presiden Kelab Penyokong Kerajaan Abd Rahman Yunus, Principal Architect (Masa Architect) Mohd Asri Mohd Salleh, Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Agromakanan dan Komoditi Kelantan Mohd Saripudin Tuan Ismail, Ketua Pegawai Eksekutif PNB Merdeka Ventures Sdn Bhd Tengku Ab Aziz Tengku Mahmud dan Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pengajian Tinggi, Teknologi Hijau, Digital dan Inovasi Kelantan Wan Roslan Wan Mamat.

Penerima anugerah Ahli Yang Kehormat Yang Kedua (Dato Paduka) bagi Darjah Kebesaran Jiwa Mahkota Kelantan Yang Amat Mulia (DJMK) yang turut membawa gelaran Datuk ialah Azahar Mohd Shariff, Ahli Perniagaan Daniyar Kessikbayev, peguam Law Yew Foo, Michael Kalum Moggie dan Ahli Perniagaan Tan Say Yap.

Ketua Provos Marsyal Markas Markas ATM, Bahagian Perkhidmatan Anggota, Cawangan Provos Marsyal ATM Brig Jen Suhaimi Shamsuddin pula dianugerah Ahli Yang Kedua (Dato Paduka) bagi Darjah Kebesaran Kesateria Mahkota Kelantan Yang Amat Perkasa (DPKK) yang turut membawa gelaran Datuk.

Tiga individu menerima anugerah Ahli Yang Kehormat Yang Kedua (Dato Paduka) bagi Darjah Kebesaran Kesateria Mahkota Kelantan Yang Amat Perkasa (DPKK) yang turut membawa gelaran Datuk ialah Panglima Markas Briged Kelapan Infantri Muzamil Ali, Pengarah Rejimen Artileri Diraja, Markas Tentera Darat, Jabatan Arah Artileri Diraja Norazman Ismail dan Timbalan Ketua Pengarah Perisikan Pertahanan Saharudin Harun.

Selain itu, tujuh individu menerima anugerah Ahli Yang Kedua (Dato Paduka) bagi Darjah Kebesaran Setia Mahkota Kelantan Yang Amat Terbilang (DPSK) yang turut membawa gelaran Datuk ialah Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri (Pengurusan) Ab Pattah Hasbullah, Ahli Jemaah Ulama (Pesara) Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan Abdul Kadir Muhammad, Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Suruhanjaya Koperasi Malaysia Amran Abd Kadir, Hakim Mahkamah Tinggi 1, Mahkamah Tinggi Kota Bharu Azmi Abdullah, Ketua Pengarah Ukur dan Pemetaan Hazri Hassan, Yang Dipertua Majlis Perbandaran Kota Bharu Bandar Raya Islam Mohd Anis Hussein dan Pengarah Elit Hartanah Phe Sdn Bhd Rahmat Kasim.

Sementara itu Pengarah Urusan TNB Power Generation Sdn Bhd Muhamad Nazri Pazil menerima anugerah Ahli Yang Kehormat Yang Kedua (Dato Paduka) bagi Darjah Kebesaran Setia Mahkota Kelantan Yang Amat Terbilang (DPSK) yang membawa gelaran Datuk.

Mantan Komander Briged Tenggara Pasukan Gerakan Am Sheik Azhar Sheik Omar pula menerima anugerah Ahli Yang Kedua (Dato Paduka) bagi Darjah Kebesaran Jasa Mahkota Kelantan Yang Amat Setia (DPJK) yang membawa gelaran Datuk.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.