
Pengarah PRK PN DUN Mahkota berkata, 7,347 undi diterima Haizan Jaafar daripada Bersatu tidak jauh berbanding 7,614 undi diperoleh calon PN Nor Lingan pada PRN Johor 2022.
Beliau juga menyatakan peratusan keluar mengundi 57.34% pada PRN Johor 2022 lebih tinggi berbanding 53.84% dicatatkan hari ini, lapor Sinar Harian.
“Sejak dari awal lagi kita sudah menyatakan Mahkota, Kluang merupakan kawasan Pakatan Harapan-BN namun kita tetap berusaha sedaya upaya menyantuni seramai mungkin pengundi,” katanya.
Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu berkata, gabungan itu tidak akan berputus asa sebaliknya terus berusaha pada pilihan raya akan datang.
BN mempertahankan DUN Mahkota dengan bergaya melalui calonnya Syed Hussien Syed Abdullah apabila memperoleh majoriti 20,648 undi, empat kali ganda lebih besar berbanding PRN 2022 iaitu 5,166 undi.
Sharifah Azizah Syed Zain daripada BN memenangi kerusi itu pada PRN Mac 2022, menewaskan calon Pakatan Harapan, PN dan Warisan dengan majoriti 5,166 undi.