PRK Mahkota: Pusat pengundian mula dibuka 8 pagi

PRK Mahkota: Pusat pengundian mula dibuka 8 pagi

Seramai 61,274 pengundi akan menunaikan tanggungjawab di 20 pusat mengundi pada PRK Mahkota, hari ini.

polling day mahkota
Pengundi mula hadir di pusat pengundian untuk menunaikan tanggungjawab masing-masing bagi PRK Mahkota.
KLUANG:
Sebanyak 20 pusat pengundian melibatkan 109 saluran bagi PRK DUN Mahkota dibuka serentak pada 8 pagi ini.

Kesemua pusat mengundi akan ditutup pada 6 petang ini, sebelum proses penjumlahan undi berlangsung di Dewan Tunku Ibrahim Ismail di sini.

Proses demokrasi hari ini membabitkan 61,274 pengundi biasa selepas 4,437 pemilih undi awal terdiri anggota tentera dan pasangan serta polis telah menunaikan tanggungjawab mereka, Selasa lalu.

Pengundi mempunyai pilihan sama ada calon Barisan Nasional (BN) Syed Hussien Syed Abdullah, 40, atau wakil Perikatan Nasional (PN) Mohamad Haizan Jaafar, 61, dengan kedua-duanya juga akan menunaikan kewajipan pada PRK itu.

Syed Hussien akan mengundi di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Seri Perdana di saluran lima manakala Mohamad Haizan di Sekolah Kebangsaan (SK) Kampung Melayu.

Semalam, Setiausaha SPR Ikmalrudin Ishak menyeru pengundi keluar beramai-ramai menunaikan tanggungjawab mereka dan merancang perjalanan ke pusat mengundi ekoran cuaca diramal hujan pada petang ini.

PRK DUN Mahkota, yang terletak di bawah Parlimen Kluang diadakan susulan kematian penyandangnya Sharifah Azizah Syed Zain, 63, pada 2 Ogos lalu.

Sharifah Azizah menang kerusi itu ketika PRN Johor pada 2022, dengan majoriti 5,166 undi.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.