2 beranak dikhuatiri lemas dihanyut banjir

2 beranak dikhuatiri lemas dihanyut banjir

Mangsa, Muhammad Rosman Rohaidi, 19, dan ibunya, Salmah Md Zain, 48, dipercayai cuba berpaut pada pokok sebelum dihanyutkan air deras akibat banjir.

Menurut bomba, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada 8.29 pagi sebelum memulakan kerja mencari dan menyelamat (SAR) mangsa dengan bot aluminium. (Gambar JBPM)
PETALING JAYA:
Dua beranak dikhuatiri lemas selepas dihanyutkan air deras akibat banjir dalam kejadian di Kampung Tanjung Kiri, Jalan Padang Sanai, Padang Terap pagi tadi.

Mangsa, Muhammad Rosman Rohaidi, 19, dan ibunya, Salmah Md Zain, 48, dipercayai cuba berpaut pada pokok sebelum dihanyutkan air deras.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kuala Nerang, Aminuddin Mad Khozari, berkata pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu pada 8.29 pagi sebelum 12 anggota dari BBP Kuala Nerang dikerahkan ke lokasi.

“Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah menerima panggilan kecemasan melalui talian MERS 999 memaklumkan dua mangsa dihanyutkan air deras akibat banjir kilat.

“Tindakan yang dilakukan adalah dengan melakukan kerja mencari dan menyelamat (SAR) dengan menggunakan bot aluminium,” katanya dalam kenyataan hari ini, menurut Berita Harian.

Terdahulu dilaporkan beberapa lokasi di daerah itu dilanda banjir kilat susulan hujan lebat lebih dua jam yang melanda malam tadi.

Berikutan itu, pasukan penyelamat seperti Angkatan Pertahanan Awam Daerah (APM) dan Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kuala Nerang melakukan tinjauan di lokasi yang terjejas dinaiki air dan membantu memindahkan mangsa ke tempat selamat.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.