PU Azman dipenjara 24 tahun, 2 sebatan kes amang seksual remaja

PU Azman dipenjara 24 tahun, 2 sebatan kes amang seksual remaja

Pendakwah selebiriti itu juga diarah menjalani kaunseling sepanjang tempoh pemenjaraan dan pengawasan polis dua tahun selepas menjalani hukuman.

Pendakwah selebriti Azman Syah Alias dijatuhi hukuman penjara 24 tahun dan dua sebatan oleh Mahkamah Sesyen Klang selepas didapati bersalah atas dua tuduhan melakukan amang seksual fizikal terhadap remaja lelaki. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Pendakwah selebriti Azman Syah Alias atau lebih dikenali sebagai PU Azman dijatuhi hukuman penjara 24 tahun dan dua sebatan oleh Mahkamah Sesyen Klang selepas didapati bersalah atas dua tuduhan melakukan amang seksual fizikal terhadap seorang remaja lelaki 17 tahun, dua tahun lalu.

Hakim Noridah Adam membuat keputusan itu selepas mendapati pihak pembelaan gagal menimbulkan keraguan munasabah di akhir kes pembelaan.

Mahkamah menjatuhkan 12 tahun penjara dan satu sebatan bagi setiap pertuduhan dan mengarahkan ia berjalan berasingan, lapor Berita Harian.

Azman, 43, turut diarahkan menjalani sesi kaunseling sepanjang tempoh pemenjaraan dan pengawasan polis selama dua tahun selepas menjalani hukuman.

Pada 26 Dis tahun lalu, dia diperintah membela diri selepas mahkamah mendapati pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie terhadap pertuduhan itu.

Berdasarkan kertas pertuduhan, dia didakwa melakukan amang seksual fizikal terhadap seorang remaja lelaki berumur 17 tahun di sebuah inap desa di Kampung Sungai Udang, Klang, masing-masing pada 12.15 tengah malam dan 1 pagi pada 20 Feb serta 29 Jun 2022.

Dakwaan terhadapnya dikemukakan mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-kesalahan Seksual terhadap Kanak-kanak 2017 yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan boleh juga dikenakan hukuman sebat, jika sabit kesalahan.

Selain itu, dia turut berdepan sembilan pertuduhan iaitu lima pertuduhan di Mahkamah Sesyen Seremban, dua kes di Mahkamah Shah Alam dan masing-masing satu kes di Mahkamah Majistret Klang dan Mahkamah Sesyen Ampang.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.