
Berucap pada ceramah grand finale perpaduan di Kampung Masjid Lama menjelang berlabuhnya kempen tengah malam ini, ketua Umno Johor itu secara berseloroh ‘ini calon banyak manis punya’, yang mendapat tepukan gemuruh orang awam yang hadir, majoritinya pengundi Cina.
Syed Hussien sebelum itu hadir ke pentas ceramah diiringi sekumpulan anak muda menunggang Yamaha RXZ, disambut meriah orang ramai yang mahu mengambil kesempatan bergambar dengannya.
“Sudah-sudah, lepas ni boleh lagi,” usik Onn Hafiz.
Pemimpin Pakatan Harapan (PH) hadir pada ceramah itu antaranya Ketua DAP Johor Liew Chin Tong, Pengarah Komunikasi Amanah Khalid Samad, Pengerusi PH Johor Aminolhuda Hassan dan Ketua PKR Johor Syed Ibrahim Syed Noh.
Onn Hafiz dalam rayuannya kepada pengundi Mahkota berkata beliau akan ‘menghukum’ Syed Hussien jika ketua Pemuda Umno Kluang itu gagal melaksanakan tanggungjawab sekiranya dipilih sebagai wakil rakyat.
“Kalau dia tak buat kerja, saya akan kerjakan dia,” katanya.

Syed Hussien yang turut berkongsi pentas berkata beliau akan berkhidmat sebaik mungkin dan tidak akan meninggalkan mana-mana kaum jika dipilih.
“Itu tekad saya,” janjinya.
PRK Mahkota esok menyaksikan pertembungan Syed Hussein dengan calon Perikatan Nasional (PN) Mohamad Haizan Jaafar.
PRK itu diadakan susulan kematian penyandangnya Sharifah Azizah Syed Zain, 63, pada 2 Ogos lalu.
Sharifah Azizah menang kerusi itu ketika PRN Johor pada 2022, dengan majoriti 5,166 undi.