Hampir 5,000 dijangka sertai Larian Keluarga Malaysia untuk anak mangsa Covid-19

Hampir 5,000 dijangka sertai Larian Keluarga Malaysia untuk anak mangsa Covid-19

Yayasan Keluarga Malaysia anjur larian amal untuk bantu anak yatim yang kehilangan ibu bapa atau penjaga akibat pandemik Covid-19.

Larian Keluarga Malaysia yang akan diadakan di Cyberjaya pada Ahad dijangka disertai hampir 5,000 peserta.
PETALING JAYA:
Acara Larian Keluarga Malaysia yang akan diadakan di Cyberjaya pada Ahad ini dijangka disertai hampir 5,000 peserta, daripada pelbagai negara dan peringkat usia.

Yayasan Keluarga Malaysia (YKM) selaku penganjur berkata penganjuran julung kali ini menerima penyertaan daripada 10 negara, antaranya Jepun, Indonesia, Mesir, Kenya, United Kingdom, dan Amerika Syarikat.

“Larian Keluarga Malaysia 2024 adalah larian amal untuk mengumpul dana bagi membantu anak-anak yatim dan yatim piatu yang kehilangan ibu, bapa, ibu bapa atau penjaga akibat pandemik Covid-19,” kata Pengerusi Ismail Sabri Yaakob.

Bekas perdana menteri itu memaklumkan penyertaan yang diterima amat memberangsangkan, mengatasi sasaran 3,000 peserta.

YKM memerlukan dana sekurang-kurangnya RM5 juta setahun untuk memastikan kira-kira 1,000 anak yatim di bawah kendaliannya mendapat pendidikan yang sempurna dan kebajikan terbela.

Larian ditaja oleh Perbadanan Usahawan Nasional Berhad (PUNB), Institut Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Negara, dan Kajang Plaza Medical Centre, antara lain.

Acara terbahagi kepada tiga kategori iaitu kategori 5km (fun run), 10km (race), dan 21km (half marathon).

Menurut Ismail, beliau akan menyertai acara 5km, bersama lebih 40 anak yatim dan yatim piatu YKM, serta bekas menteri sains, teknologi dan inovasi Dr Adham Baba.

Kategori 10km akan disertai bekas menteri kesihatan Khairy Jamaluddin dan bekas Ahli Parlimen Bangi Ong Kian Ming, serta Ketua Pemuda Umno, Dr Akmal Saleh.

Manakala Ahli Parlimen Muar Syed Saddiq Syed Abdul Rahman akan menyertai kategori 21km.

Pengerusi PUNB Acryl Sani Abdullah Sani serta kepimpinan tertinggi syarikat akan turut menyertai Larian Keluarga Malaysia.

Pelepasan peserta bagi kategori 21km akan diadakan pada 6.30 pagi, bagi 10km pada 7 pagi, manakala bagi 5km pada 7.15 pagi.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.