Warga Singapura antara 5 didakwa cemar sungai di Johor

Warga Singapura antara 5 didakwa cemar sungai di Johor

Pengarah syarikat, pemegang saham, pemandu lori dan dua kelindan didakwa bersubahat melakukan sabotaj hingga mengganggu perkhidmatan air.

Johor pada awal bulan ini berdepan dengan beberapa kejadian pencemaran bau yang dipercayai berpunca daripada pembuangan sisa bahan kimia di sungai sekitar Johor Bahru dan Kota Tinggi. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Lima lelaki termasuk seorang warga Singapura didakwa di Mahkamah Sesyen Kota Tinggi atas tuduhan melakukan sabotaj hingga menyebabkan pencemaran yang mengganggu perkhidmatan air di Bandar Tenggara pada 4 Sept lalu.

Warga Singapura Tan Eng Yong, 41; Lau Kam Wai, 53; R Navaraj, 23; K Prasanth, 28, dan K Jaya Kumar, 52, mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Hayda Faridzal Abu Hasan, lapor Harian Metro.

Tan pengarah sebuah kilang di Kota Tinggi manakala Lau adalah pemegang saham. Mereka didakwa bersubahat dengan Navaraj yang merupakan pemandu lori dan Prasanth serta Jaya yang menjadi kelindan.

Semua tertuduh bersama seorang lagi yang masih bebas didakwa secara tidak langsung melakukan sabotaj iaitu menyebabkan mudarat terhadap pemeliharaan perkhidmatan utama iaitu perkhidmatan air.

Mereka didakwa melakukan perbuatan itu di kawasan lombong Kampung Orang Asli Pasir Intan, Bandar Tenggara antara jam 8 malam hingga 11.30 malam, pada 4 Sept lalu.

Tuduhan dibuat mengikut Seksyen 109 Kanun Keseksaan dibaca bersama dengan seksyen 124K Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman pemenjaraan maksimum 40 tahun jika sabit kesalahan.

Pendakwaan kes dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Abdul Malik Ayob, Nor Azizah Aling dan Nadia Mohd Izhar.

Tan dan Lau diwakili peguam Muhammad Mohd Nasir dan Goh Sze Han.

Mahkamah menetapkan 14 Nov depan untuk sebutan semula kes dan tiada sebarang jaminan dibenarkan untuk semua tertuduh.

Pada awal bulan ini, Johor berdepan dengan beberapa kejadian pencemaran bau yang dipercayai berpunca daripada pembuangan sisa bahan kimia di sungai sekitar Johor Bahru dan Kota Tinggi.

Baru-baru ini, lebih 38 penduduk Orang Asal di Kampung Pasir Intan terpaksa dipindahkan ke balai raya berdekatan selepas mengalami sesak nafas dan sukar bernafas susulan pencemaran bau Sungai Linggui, iaitu anak Sungai Sayong.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.