‘Syed Hussien pertahan orang buta dipukul’, kata Zahid

‘Syed Hussien pertahan orang buta dipukul’, kata Zahid

Zahid Hamidi berkata Syed Hussien Syed Abdullah mempertahankan orang buta diganggu sekumpulan individu dalam kes memukul orang dikaitkan dengannya pada 2008.

Zahid Hamidi menyantuni masyarakat Orang Asli pada program tautan kasih di Kampung Orang Asli Tanah Runtuh.
KLUANG:
Zahid Hamidi menjelaskan calon Barisan Nasional (BN) PRK Mahkota Syed Hussien Syed Abdullah telah mempertahankan orang buta yang telah diganggu sekumpulan individu dalam kes memukul orang dikaitkan dengannya pada 2008.

Pengerusi BN berkata kejadian itu berlaku ketika Syed Hussien berusia dalam lingkungan 20-an dan tiada pertuduhan dikenakan ke atasnya kerana tiada kes.

“Saya telah semak dia tak ada rekod, tak dibawa ke mahkamah…mengikut laporan beliau cuba membela orang buta yang diganggu dan dipukul oleh satu kumpulan,” katanya selepas program tautan kasih di Kampung Orang Asli Tanah Runtuh.

Terdahulu, FMT melaporkan Syed Hussien menafikan dakwaan seorang ahli Bersatu Badrul Hisham Shaharin atau dikenali Chegubard bahawa beliau terbabit dalam satu kes pukul hingga ditangkap polis.

Chegubard dalam satu ceramah di kempen Perikatan Nasional (PN) PRK Mahkota meminta penjelasan Syed Hussien berhubung dakwaan itu.

Beliau juga menunjukkan dokumen yang didakwanya laporan polis yang menyatakan Syed Hussien terlibat dengan kes jenayah itu.

Zahid yang juga presiden Umno membidas pembangkang yang disifatkan ketandusan isu sehingga membangkitkan isu peribadi untuk menghilangkan keyakinan terhadap Syed Hussien.

“Mungkin kerana tiada sambutan untuk calon mereka sebab itu cuba ganggu calon kita,” katanya.

Difahamkan Pemuda Umno Kluang akan membuat laporan polis terhadap Badrul Hisham di Ibu Pejabat Polis Daerah Kluang pada 4 petang ini.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.