Sayap swasta tambah beban sistem kesihatan, kata badan pemikir

Sayap swasta tambah beban sistem kesihatan, kata badan pemikir

Doktor, jururawat dan peralatan diagnostik terhad mungkin jadi kekangan, menurut Pusat Galen.

doctor
CEO Pusat Galen Azrul Khalib mempertikaikan sama ada hasil yang diperoleh daripada sayap swasta di hospital kerajaan yang dicadangkan mampu menampung kos penuh menyediakan perkhidmatan itu. (Gambar Reuters)
PETALING JAYA:
Sebuah badan pemikir menyuarakan kebimbangan terhadap cadangan mewujudkan ‘sayap swasta’ di lebih banyak hospital kerajaan bagi menjana hasil untuk sistem penjagaan kesihatan awam.

Menurut Pusat Galen untuk Dasar Kesihatan dan Sosial, cadangan itu berisiko menghadapi pelbagai masalah, termasuk kekurangan kapasiti di fasiliti kerajaan, khususnya dari segi doktor, jururawat dan peralatan diagnostik.

“Ini berkemungkinan menjejaskan sumber penting yang diperlukan kumpulan pesakit utama,” kata CEO Azrul Khalib kepada FMT.

Minggu lepas, Menteri Kesihatan Dzulkefly Ahmad berkata, Kementerian Kesihatan (KKM) bercadang menawarkan Perkhidmatan Pesakit Bayar Penuh (FPP) di hospital kerajaan untuk meningkatkan hasil.

Azrul Khalib.
Azrul Khalib.

Beliau dipetik CodeBlue sebagai berkata, inisiatif itu akan menyasarkan kumpulan M40. Menurutnya, kerajaan bercadang menubuhkan Rakan MOH, entiti kegunaan khas bawah kementerian untuk melaksanakan program itu.

Azrul yakin cadangan itu mampu mengaut hasil, tetapi mempertikai sama ada ia cukup untuk menampung kos penuh menyediakan perkhidmatan berkenaan.

“Konsep FPP ini wujud sejak 2007. Keberkesanannya perlu dinilai berdasarkan pengalaman itu,” katanya.

Beliau mencadangkan kerajaan menghentikan yuran rundingan RM1 di fasiliti kesihatan awam, kerana menganggap hasil yang diperoleh ‘tidak akan pernah cukup’. Sebaliknya, beliau menggesa Putrajaya memperkenalkan insurans kesihatan dan sosial untuk mendapatkan dana baharu bagi penjagaan kesihatan dan warga emas.

Disoal sama ada beliau bimbang pengamal perubatan akan mengutamakan pesakit sayap swasta berbanding pesakit awam, Azrul berkata, mereka perlu diberi kepercayaan untuk mengimbangi masa antara kedua-duanya.

“Bagaimanapun, bukanlah suatu idea yang bagus untuk mengarahkan mereka berkhidmat untuk FPP selepas syif biasa mereka tamat, atau bekerja lebih masa,” katanya.

Sementara itu, Persatuan Perubatan Malaysia (MMA) berkata, pihaknya masih menanti perincian mengenai program itu daripada KKM, termasuk sasaran tarikh pelancaran serta kriteria pemilihan hospital.

Perkhidmatan FPP buat masa ini tersedia di lima hospital kerajaan di Lembah Klang, iaitu Hospital Putrajaya, Hospital Ampang; Hospital Selayang; Hospital Sultan Idris Shah Serdang; dan Hospital Sungai Buloh.

Hospital Pulau Pinang, Hospital Queen Elizabeth II di Sabah; Pusat Jantung Sarawak; Hospital Sultanah Aminah; dan Hospital Sultan Ismail di Johor turut menawarkan perkhidmatan itu.

Presiden MMA Dr Kalwinder Singh Khaira berkata, jika inisiatif itu dilaksanakan dengan betul, ia boleh memanfaatkan sekumpulan besar golongan M40 yang mungkin sanggup dan mampu membayar lebih untuk menerima perkhidmatan lebih baik.

Kalwinder
Dr Kalwinder Singh Khaira.

Bagaimanapun, katanya, pelaksanaan program itu tidak patut menjejaskan kualiti penjagaan diberikan hospital kerajaan.

“Orang awam juga tidak patut menganggap kualiti penjagaan di sayap swasta lebih tinggi berbanding kemudahan awam, kerana semua doktor dan pakar di negara ini terlatih dalam sistem penjagaan kesihatan awam,” katanya.

Beliau berkata, KKM mesti mewujudkan garis panduan jelas mengenai proses merekrut bagi membolehkan semua pakar yang layak dan berminat terlibat dengan perkhidmatan itu, sebagai cara memberikan mereka motivasi untuk terus kekal dalam perkhidmatan awam.

Kurang saingan untuk hospital swasta

Kuljit
Dr Kuljit Singh.

Presiden Persatuan Hospital Swasta Malaysia Dr Kuljit Singh berkata, cadangan mewujudkan bahagian swasta itu tidak akan mencetuskan masalah persaingan untuk fasiliti swasta. Sebaliknya, beliau berpendapat, ia mungkin dapat memupuk kerjasama lebih baik.

“Walaupun sayap swasta ini mungkin menjana pendapatan dan menarik minat pakar, ia juga akan mendapat manfaat daripada diskaun rundingan kerajaan bagi ubat-ubatan dan peralatan, menjadikan perkhidmatan ditawarkan lebih mampu milik berbanding hospital swasta.

“Bagaimanapun, ini tidak patut dijadikan mekanisme perbandingan harga dengan institusi swasta kerana dinamik kewangan dan model perolehan institusi swasta penuh tidak disokong pembayar cukai,” katanya dalam kenyataan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.